BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju memberikan pampasan kepada negeri Pahang atas komitmen negeri itu mengekalkan hutan simpan.
Bagaimanapun beliau berkata kerajaan Persekutuan akan mencari formula terbaik bagi menilai jumlah pampasan yang dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan tidak membebankan Kerajaan Persekutuan.
“Di Semenanjung, Pahang adalah negeri tertinggi yang mengekalkan hutan simpan lebih 57 peratus dan pengorbanan itu kita tidak lupakan.
“Mengenai sumbangan iaitu dari segi pampasan terhadap pengorbanan kerajaan Pahang mengekalkan hutan simpan kabinet sudah pun bersetuju,”katanya ketika Program Pemerkasaan Pendigitalan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan 2021 di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Seri Noh Omar.
Menurut Ismail Sabri formula terbaik akan dihasilkan dalam usaha menyalurkan pampasan yang sewajarnya kepada kerajaan negeri.
Katanya, semua pihak terbabit termasuk kerajaan negeri dan Persekutuan akan bersama berbincang dalam menyelesaikan isu tersebut. -K! ONLINE.