BEIJING – Gambar seorang pelajar perempuan yang sedang belajar pada waktu malam tular kerana sanggup menggantung lampu pendarfluor di kepala disebabkan sumber cahaya biliknya tidak mencukupi, lapor portal berita Wolipop.
Gambar itu dilihat unik kerana pelajar itu bertindak menggantungkan lampu itu pada rambutnya walaupun sedang membaca tanpa menggunakan meja.
Menurut Sina News, dia merupakan seorang pelajar di sebuah universiti di wilayah Hebei. Ketika kejadian, bekalan elektrik dikatakan terputus.
Kejadian itu menarik perhatian netizen kerana menunjukkan dedikasi seseorang untuk belajar untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang.
Bukan sahaja tular, netizen yang melihatnya sibuk berbincang dan mendedahkan cara atau pengalaman masing-masing belajar tanpa pencahayaan yang baik.
Wanita itu juga disebut sebagai ‘lambang kerja keras’ dalam kalangan pelajar.
Gambar itu mendapat lebih 290 juta tontonan dalam aplikasi Weibo sejak ia dikongsikan. – Agensi