fbpx

Jaga anak, jangan menyesal kemudian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anak-anak perlu diawasi bagi elak kejadian tidak diingini berlaku. - Gambar hiasan
SYED MOHD. HAZIQUE SYED NOR
WARTAWAN EKSEKUTIF

ANAK merupakan satu amanah dan anugerah yang sangat berharga kurniaan daripada Tuhan kepada pasangan yang mendirikan rumah tangga.

Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, anak-anak wajar dipelihara, dijaga dan diberi didikan sebaik-baiknya termasuk me­mastikan keselamatan mereka terjamin.

Kadang-kadang perkara yang kita anggap biasa-biasa sahaja boleh berubah menjadi luar biasa di­sebabkan kurangnya pemantauan ibu bapa terhadap anak-anak.

Ditambah lagi apabila golo­ngan kanak-kanak ini mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi sedangkan mereka tidak dapat membezakan sama ada perkara tersebut boleh membawa kebaikan atau mudarat.

Baru-baru ini, pelbagai kes atau tragedi yang menimpa golongan kanak-kanak seperti terjatuh dari bangunan tinggi membuatkan ramai pihak kembali membuka mata dan minda.

Menurut Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Dr. Shazli Ezzat Ghazali, kanak-kanak berusia 2 hingga 6 tahun khususnya, merupakan waktu mereka membesar dan penuh dengan imaginasi.

Beliau memberitahu, ibu bapa atau ahli keluarga yang dewasa perlu memainkan peranan pen­ting dalam memantau akti­viti-aktiviti anak masing-masing.

“Jangan terlepas pandang atau mengabaikan anak-anak, sebaliknya beri ruang masa me­lakukan aktiviti bersama-sama de­ngan mereka.

“Komunikasi adalah penting kerana anak-anak akan hormat dan mendengar kata-kata ibu bapa mereka termasuk terhadap perkara-perkara yang dilarang atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Shazli Ezzat memberitahu, penggunaan bahasa juga dilihat penting dalam mengajar atau menegah anak-anak terutama yang masih kecil daripada me­lakukan sesuatu perkara yang dilarang.

“Jika boleh elak menggunakan perkataan ‘jangan’ apabila mahu mengajar anak-anak daripada membuat perkara yang dilarang.

“Adalah lebih manis jika kita menggunakan kata-kata yang lembut dan nyatakan sekali sebab mengapa ia tidak boleh dilakukan bagi memudahkan golongan tersebut memahami situasi itu,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran menegaskan, ibu bapa atau penjaga harus lebih berjaga-jaga sekiranya anak-anak kecil berada di dalam rumah.

“Kalau boleh pasang jeriji pada setiap tingkap dan juga di balkoni bagi mereka yang tinggi di rumah bertingkat tinggi.

”Pastikan setiap tingkap dan pintu dikunci. Jangan biarkan anak-anak bermain di kawasan berhampiran tingkap,” katanya.

Tambahnya, masyarakat juga perlu memainkan peranan dan mengambil sikap ambil peduli terhadap perkara sebegini.

Justeru itu, kata beliau, adalah lebih baik kita sebagai ibu bapa atau penjaga mencegah kejadian yang boleh mengorbankan nyawa sekiranya tidak mahu menyesal kemudian hari. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI