ISKANDAR PUTERI – Seramai 77,010 penduduk negeri ini telah menerima suntikan ketiga vaksinasi Covid-19 atau dikenali sebagai dos penggalak sejak ia mula dilaksana pada 13 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, vaksin yang digunakan untuk pemberian dos penggalak adalah jenis Cominarty (Pfizer).
“Buat masa ini, pemberian dos penggalak dilaksana bagi penerima vaksin Cominarty sekurang-kurangnya enam bulan yang lalu dari dos kedua dan penerima vaksin Sinovac sekurang-kurangnya tiga bulan dari dos kedua.
“Dos penggalak ini diutamakan kepada anggota barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan), warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, individu berusia 40 tahun dan ke atas dan golongan komorbid berusia 18 tahun ke atas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Bukit Batu); Ng Yak Howe (PH-Ng Yak Howe); Dr Faizul Amri Adnan (PH-Serom); Yeo Tung Siong (PH-Pekan Nanas) dan Cheo Yee How (PH-Perling) berhubung pemberian suntikan dos penggalak di negeri ini.
Tambah Vidyananthan lagi, pemberian suntikan dos penggalak akan diperluas kepada semua penduduk apabila telah melepasi tempoh yang disyorkan selepas menerima vaksin dos lengkap.