KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerbitkan sebuah iklan kemerdekaan bertajuk “Deklarasi Anak Malaysia” sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020.
Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman berkata, iklan berdurasi 2.59 minit itu ditayangkan di saluran youtube.com/TENAGA official bermula hari ini.
“Iklan itu memaparkan kegigihan dan kesatuan rakyat Malaysia berbilang bangsa menghadapi krisis dan cabaran untuk masa depan yang lebih cerah.
“Sambutan kemerdekaan diadakan saban tahun bukan sekadar satu keraian buat warga Malaysia. Ia harus menjadi sambutan yang berupaya menyuntik semangat partriotik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Deklarasi Anak Malaysia” diinspirasikan daripada ucapan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika membaca Pemasyhuran Kemerdekaan pada tahun 1957.
Karya sentuhan pengarah terkenal Kabir Bhatia itu antara lain memaparkan mesej penting dalam ucapan Tunku Abdul Rahman tentang kepentingan menjaga kesejahteraan dan kerjasama untuk masa depan negara.
Ia turut memaparkan semangat, keprihatinan dan ketabahan rakyat Malaysia khususnya petugas barisan hadapan negara mendepani cabaran.
Iklan tersebut dilakonkan oleh beberapa kanak-kanak termasuk seorang kanak-kanak memakai pakaian seperti Tunku Abdul Rahman ketika membaca Pemasyhuran Kemerdekaan.
Filem yang diakhiri dengan laungan “Merdeka”oleh barisan pelakon cilik itu diharap menyuntik semangat patriotik dan rasa syukur ke dalam minda penonton. – K! ONLINE