JAKARTA – Seorang lelaki dari wilayah Jawa Tengah menjadi sensasi internet selepas membeli seekor burung merpati pada harga 2 bilion rupiah (RM586,361), lapor laman berita Suara.com.
Yunius Martin, 41, membeli burung merpati istimewa yang bernama Rampok itu daripada seorang lelaki dari Jawa Barat.
Menurut Yunius, pada awalnya, burung yang mempunyai bulu berwarna putih dan coklat itu mahu dibeli pada harga 1.7 bilion rupiah (RM498,407), namun pemiliknya hanya bersetuju untuk menjual burung itu pada harga 2 bilion rupiah (RM586,361).
Tambahnya, transaksi pembelian Rampok berlaku kira-kira dua minggu selepas berita mengenai penjualan seekor lagi burung merpati bernama Jaguar yang dibeli pada harga 1.5 bilion rupiah (RM439,771) menjadi tular.
Rampok dijual pada harga yang sangat mahal kerana ia sering menjadi juara dalam acara pertandingan burung merpati.
Malah, dalam satu pertandingan di Semarang bulan lalu, Rampok berjaya menewaskan Jaguar. – AGENSI