PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama-sama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan memacu pembangunan MSC 2.0 untuk melonjakkan ekonomi digital negara dan menarik lebih banyak pelaburan digital.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, MSC Malaysia merupakan salah satu tonggak utama ekonomi digital negara dan telah ditubuhkan pada 1996 untuk membangunkan ekosistem ekonomi digital yang kondusif menerusi pemupukan juara ICT tempatan dan menarik pelaburan global.
Katanya, inisiatif ini juga telah membantu mempromosikan adaptasi digital di Malaysia dan meningkatkan jumlah bakat berkemahiran negara.
“Sejak 25 tahun lalu, MDEC menerusi inisiatif MSC Malaysia telah membantu negara meraih RM384 bilion pelaburan dan RM588 bilion jumlah pendapatan.
“Ia telah dipacu oleh 40 buah syarikat berstatus Forbes100 yang telah menjadikan Malaysia sebagai digital hab mereka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.- K! ONLINE