JOHOR BAHRU – Setelah tidak lagi sehaluan, seorang pengusaha kedai salun mendakwa menjadi mangsa cemburu bekas rakan kongsinya yang berniat jahat merosakkan perniagaannya.
Mangsa, Too Kai Cheng, 25, turut dituduh berhutang RM80,000 dengan ah long hingga mengakibatkan kedainya di Taman Bukit Indah, dekat sini disimbah cat merah.
Pengusaha salun itu berkata, ketika kejadian, dia berada di sebuah lagi kedai salun miliknya di Sri Petaling, Kuala Lumpur yang baharu dibuka sebelum mendapat tahu tentang kejadian itu apabila dihubungi pemilik premis berkenaan.
“Dalam kejadian yang disedari pada pukul 9.30 pagi itu, terdapat puluhan kertas memaparkan gambar saya turut ditampal di merata tempat sekitar premis berkenaan selain pintu disimbah cat merah.
“Saya yakin perbuatan itu dilakukan pihak tidak bertanggungjawab bagi menjatuhkan imej dan menjejaskan perniagaan saya serta menakut-nakutkan pelanggan.
“Mungkin bagi mengaburi mata saya, individu itu meniru modus operandi biasa digunakan ceti haram agar tidak ada yang mengesyaki dirinya,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan di Taman Maju di sini hari ini.
Kai Cheng berkata, dia cuba menghubungi nombor telefon bimbit yang tertera di kertas itu namun mendapati nombor telefon itu tiada dalam perkhidmatan dan sehingga kini tidak ada mana-mana pihak menghubunginya selain ugutan lain yang diterima.
Dia mengesyaki perbuatan tersebut dilakukan bekas rakan kongsinya yang tidak senang dengan kejayaannya sehingga berjaya membuka cawangan baharu salun rambut di Sri Petaling pada bulan lalu.
“Saya enggan menuding jari kepada sesiapa dan berharap pihak polis dapat melakukan siasatan secara menyeluruh. Saya pernah menjadi rakan kongsinya selama empat tahun dan berjaya membuka tiga kedai salun bersama namun kini kami membawa haluan masing-masing,” katanya.-K! ONLINE