KOTA BHARU – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas semasa melalui jalan selekoh di Lebuh Raya Ketereh – Kota Bharu berhampiran lampu isyarat Padang Enggang di sini semalam.
Kejadian pada pukul 8.20 malam itu menyebabkan mangsa, Muhammad Firdaus Rosi, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komsioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan mendapati, mangsa dipercayai menunggang motosikal jenis Honda ANF125 seorang diri dari arah Ketereh ke Kota Bharu.
Menurutnya, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal ditunggangnya semasa melalui laluan selekoh sebelum tiba di persimpangan lampu isyarat Padang Enggang di sini.
“Insiden itu menyebabkan motosikal yang ditunggang mangsa terbabas ke kanan sebelum merempuh penghadang di bahu jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh yang tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk bedah siasat.
Menurut Abdul Rahim, jenazah mangsa sudah dituntut oleh keluarganya dari Beris Kubur Besar, Bachok untuk urusan pengebumian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE