PETALING JAYA – Insiden penurunan paras air di Kolam Air Sime UEP, USJ di sini dijangka akan mengakibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna di kawasan USJ 1 hingga USJ 27 sehingga esok.
Air Selangor menerusi satu kenyataan berkata, insiden penurunan paras kolam air itu adalah susulan masalah teknikal iaitu ‘air lock’ pada paip agihan utama yang menyalurkan air ke Kolam Air Sime UEP di Kampung Kenangan, Puchong.
“Berikutan itu, pengguna di kawasan USJ 1 hingga USJ 27 di Wilayah Petaling kini sedang mengalami gangguan bekalan air serta tekanan air rendah dan Air Selangor sedang berusaha untuk mengatasi masalah ini dan akan menyalurkan bekalan air secara berperingkat setelah paras kolam air agihan tersebut distabilkan.
“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya di semua kawasan pada pukul 12 tengah malam esok. Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya.
Tambah kenyataan itu, bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki telah digerakkan ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
“Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini,” katanya.
Jelas Air Selangor, pengguna disaran untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman web www.airselangor.com.
“Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan ke Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor,” ujarnya.- K! ONLINE