Oleh MOHD. FITRIE MUHAMAD
KUALA Lumpur City FC berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia apabila menundukkan seteru tetangga, Selangor FC 1-0, sekali gus mara dengan agregat 3-0 pada aksi suku akhir kedua Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.
Bagaimanapun, kemenangan KL City mungkin terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila dikatakan berdepan dua risiko besar iaitu didenda ekoran tindakan penyokongnya menyerbu masuk ke padang, manakala keduanya menghampiri pemain serta kemungkinan mendedahkan pasukan kepada jangkitan Covid-19.
Paling membimbangkan pastinya risiko jangkitan baharu dalam kalangan pemain memandangkan Malaysia Football League (MFL) sudah menetapkan dengan tegas bahawa pasukan yang dilanda Covid-19 tidak diberi peluang kedua dan tersingkir.
Mengulas situasi tersebut, pengendali Bojan Hodak tidak mahu menuding jari kepada penyokong kerana faham sukan bola sepak akan berkait rapat dengan emosi peminat.
“Saya tidak risaukan tentang itu. Kena faham bola sepak adalah sukan yang penuh emosi dan tidak boleh dipisahkan dengan pemain serta penyokong.
“Mungkin hari ini (kelmarin) apa yang mereka buat (penyokong) adalah salah, tetapi kena faham inilah emosi.
“Masalahnya mereka melompat dan semua orang terkejut kerana sebenarnya KL City ada ramai penyokong,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Sebelum ini, juara Liga Premier, Negeri Sembilan FC menjadi ‘mangsa’ pertama apabila terpaksa melupakan kempen Piala Malaysia musim ini selepas ramai pemain dan pegawai pasukan dijangkiti Covid-19.
Skuad The City Boys mara ke kelompok empat terbaik selepas menyingkirkan Selangor 3-0 secara agregat dan Romel Morales terus tajam apabila memastikan kemenangan dengan meledak gol ke-10 sepanjang Piala Malaysia musim ini.
Menceritakan sumbangan Morales, jurulatih dari Croatia itu nyata berpuas hati dengan kerja keras dilakukan pemain dari Colombia tersebut.
“Saya beri ‘pil’ jaringkan gol,” katanya sambil berseloroh.
“Tunggu dulu, separuh akhir belum main lain,” katanya merujuk kepada anggapan yang melabel KL City sebagai pasukan pilihan.