Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JURULATIH Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengangkat pemain prolifik, Arif Aiman Hanafi sebagai bintang masa depan JDT selepas membantu pasukan menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam kelmarin.
Menurut Mora, Aiman mempamerkan peningkatan dan kematangan dalam perlawanan demi perlawanan yang dilalui hingga menjadi aset penting buat skuad Harimau Selatan.
Bagaimanapun, pengendali berusia 42 tahun itu percaya, masih banyak yang perlu dipelajari oleh pemain muda JDT tersebut sebelum menggapai status bintang bersama kelab tersohor berkenaan.
“Arif Aiman mampu menjadi pemain yang hebat pada masa akan datang dan perlu lebih bijak bermain bola sepak, membaca permainan dan mengatur gerakan.
“Walaupun baru berusia 19 tahun, dia sudah memikul tugas penting untuk membantu pasukan. Hari ini, dia banyak membuat larian, berani untuk menggelecek pemain pertahanan lawan, selain membuat hantaran ke dalam kotak penalti.
“Tak salah untuk mengangkat dia sebagai pemain terbaik malam ini. Dia melakukan tugas dengan baik dan jaringannya membawa JDT ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Mora tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas menang tipis ke atas skuad Helang Merah setelah pasukannya terpaksa bekerja keras sehingga minit akhir permainan untuk memastikan kemaraan ke pusingan seterusnya.
Beliau berkata, pada babak pertama, JDT bermula dengan tempo permainan perlahan bagi mencari ruang dan peluang untuk menembusi benteng pertahanan lawan.
Katanya, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang meletakkan dua lapisan pertahanan itu merantai Harimau Selatan daripada melakukan serangan demi serangan untuk mendapatkan gol pembukaan.
“Setelah menukar formasi, barulah pemain mampu mencari ruang dan mampu melakukan hantaran pantas. Selepas Arif Aiman meledak gol pada penghujung perlawanan, barulah keyakinan hadir buat pemain JDT dan bersaing lebih baik pada babak kedua.
“Seperti aksi suku akhir pertama, kami mendominasi permainan, bahkan turut mematahkan serangan pasukan lawan. Kedah hanya mempunyai satu peluang sahaja, secara keseluruhan, JDT melakukan tugas dengan baik,” katanya.
Mora turut memberi pujian kepada aksi Guilherme De Paula yang mengemudi jentera serangan bagi menggantikan Bergson Da Silva yang sentiasa memberi tekanan terhadap benteng pasukan lawan.
Katanya, De Paula yang sentiasa berada di kawasan kotak penalti itu berjaya menarik Renan Alves untuk mengawalnya, sekali gus memberi kebebasan buat Arif Aiman dan Gonzalo Cabrera untuk melakukan gerakan berbahaya arah gawang KDA FC.