PETALING JAYA – Tanpa desas-desas mahupun khabar angin, dramatis senior, Jasmin Hamid rupa-rupanya selamat mengakhiri zaman solonya apabila melangsungkan pernikahan hari ini.
Berita gembira tersebut dikongsikan Jasmin atau nama sebenarnya Jasmiah Abdul Hamid yang memuat naik sekeping gambarnya sedondon mengenakan baju pengantin berwarna putih bersama suami yang tidak didedahkan identitinya.
Kata pelakon berusia 46 tahun itu, meskipun pada asalnya menjalin hubungan cinta dengan orang lain, namun sebagai seorang hamba Tuhan yang beriman, wajib untuk dia mempercayai jodoh, maut dan rezeki adalah rahsia Allah apabila dipertemukan jodoh dengan suaminya itu.
“Salam Jumaat. Syukur Alhamdulillah. Bercinta dengan orang lain. Nikah dengan orang lain. Sebagai hamba-Nya yang beriman, wajib percaya bahawa jodoh, maut dan rezeki adalah rahsia Allah,” tulisnya.
Biarpun tidak memperincikan maklumat lanjut tentang pernikahan serta butiran peribadi si suami, namun pelakon drama Cukup Derita Itu berharap perkahwinan yang dibina akan membuatkan mereka lebih mendekatkan diri kepada Tuhan.
“Ini juga adalah berkat doa ibu bapa, sanak saudara, sahabat handai yang menyokong dan sentiasa doakan yang baik-baik buat saya.
“Saya hanya buat yang afdal (akad nikah). Janganlah ada yang berkecil hati. Tiada majlis pun. Hanya ahli keluarga (yang hadir),” tuturnya.
Perkongsian Jasmin mendapat respons daripada kalangan rakan artis dan peminat yang menghujaninya dengan ucapan tahniah dan selamat pengantin baharu serta mendoakan dia bersama suami bahagia sehingga ke syurga.
Untuk rekod, Jasmin mempunyai seorang anak lelaki berusia 20 tahun bernama Ian Haziq yang merupakan hasil perkahwinan terdahulunya bersama bekas suami.
Pelakon itu juga mempunyai dua orang anak angkat iaitu Lukhman Hakim dan Rohana yang dijaga sejak kecil. – K! ONLINE