BANDAR GARDEN, MICHIGAN – Lesen operasi sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Michigan, Amerika Syarikat ditarik balik selepas seorang kanak-kanak dalam jagaannya mengurung seorang lagi penghuni lain di dalam mesin pengering dan menghidupkan suisnya, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Menurut Jabatan Pelesenan dan Hal Ehwal Kawal Selia Michigan, pengusaha premis itu, Kathleen Mayhue-Radeback membawa suspek ke sebuah hospital pada 4 Ogos lalu selepas dia mengakui ‘tertekan’ kerana memasukkan seorang kanak-kanak lain ke dalam mesin pengering.
Kanak-kanak yang menjadi mangsa itu dilaporkan memaklumkan kepada ibunya bahawa mesin tersebut adalah panas dan gelap selain menyebabkan bahagian belakang badannya berasa sakit.
Dia turut memaklumkan bahawa Mayhue-Radeback berjaya membawanya keluar dari mesin tersebut sebelum mengalami cedera parah.
Wanita itu bagaimanapun tidak memaklumkan mengenai kejadian tersebut kepada ibu mangsa selain menafikan insiden itu berlaku di premis jagaannya.
Siasatan mendapati bahawa Mayhue-Radeback gagal memberikan penjagaan dan pengawasan yang sewajarnya serta gagal memberikan maklumat yang betul kepada pegawai negeri.
Perintah penggantungan itu turut melarang Mayhue-Radeback daripada mengendalikan rumah jagaan kanak-kanak di Bandar Garden atau mana-mana lokasi mulai 3 November lalu.
– AGENSI