SUNGAI DALY, AUSTRALIA – Dua kaki pancing akhirnya diselamatkan daripada terkandas di dalam hutan selepas bot yang dinaiki mereka karam sehingga terpaksa meminum air kencing sendiri selama empat hari, selain ‘bertarung’ dengan seekor buaya, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Kedua-dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun tersebut ketika itu sedang menyusuri sepanjang Sungai Daly di utara Australia apabila bot mereka merempuh sesuatu di bawah air pada awal pagi, 11 November lepas.
Polis berkata, hanya dalam beberapa saat, bot mereka karam dan dimasuki air, membuatkan mereka tidak sempat untuk menyalakan suar kecemasan.
Kedua-dua mangsa bahkan terpaksa bertarung nyawa apabila diserang seekor buaya. Mereka bertindak melemparkan objek ke arah haiwan tersebut untuk menghalaunya.
Superintendan Polis, Shaun Gill berkata, kedua-dua lelaki itu amat bertuah kerana masih hidup.
‘’Saya telah berkhidmat selama 30 tahun, dan kejadian ini amat mengerikan,” katanya.
Menurut Gill, ketika terkandas di dalam hutan, suhu berada dalam keadaan melampau dan kedua-dua mangsa tidak mempunyai bekalan air untuk diminum.
“Mereka kemudiannya menemui sebuah botol dan terpaksa meminum air kencing yang dicampur bersama pil Berocca untuk mendapatkan sedikit perisa.
“Tindakan itu telah menyelamatkan nyawa mereka,” ujarnya.
Kedua-dua mangsa ditemui oleh seorang lelaki yang mendakwa bahawa mereka kelihatan sangat gembira apabila melihatnya. – AGENSI