SEPANG – Anggota polis yang tular kerana memukul seorang wanita dalam sebuah lif di Jalan 2 Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada Selasa lalu, sudah dipindahkan tugas ke bahagian pentadbiran sementara siasatan lanjut dijalankan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, anggota berusia 35 tahun itu adalah detektif berpangkat koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
“Susulan kes ini, kami mengambil tindakan serta merta dengan memindahkan anggota berkenaan daripada tugas sebagai detektif kepada tugas pentadbiran sementara siasatan lanjut dijalankan oleh polis Kuala Lumpur”, ujarnya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, individu berkenaan bukan pegawai kanan polis seperti dilaporkan media sebelum ini.
“Saya mahu perbetulkan fakta yang mendakwa individu berkenaan adalah pegawai kanan polis, tetapi sebenarnya dia adalah detektif yang berpangkat koperal dan bertugas di IPK Selangor,” katanya.
Tambah beliau, selain dari segi perlakuan jenayah, siasatan dari segi tatatertib turut dijalankan terhadap anggota berkenaan.
Terdahulu, tular satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 2 minit 19 saat memaparkan seorang lelaki membawa masuk seorang wanita ke dalam lif lalu memukul pada bahagian kepala hingga cedera.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian pada Selasa lalu itu berpunca daripada perselisihan faham di antara mangsa dan suspek yang mana suspek telah membayar wang sebanyak RM2,500 kepada mangsa untuk mencari calon isteri di laman web Matrimony.
“Bagaimanapun tiada calon jodoh ditemui dalam tempoh masa enam bulan menyebabkan suspek naik angin lalu bertindak menyerang mangsa yang berusia 34 tahun itu,” ujarnya. -K! ONLINE