LIVERPOOL – Tiga pemain Liverpool, Roberto Firmino, Naby Keita dan James Milner hampir pasti terpaksa disisihkan ketika mereka bakal menghadapi Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi esok.
Firmino, Keita dan Milner masing-masing mengalami kecederaan hamstring, manakala Joe Gomez berdepan masalah betis, Curtis Jones (mata), selain Harvey Elliott sudah pun terpaksa melupakan aksi untuk tempoh jangka masa panjang ekoran kecederaan buku lali.
Ketika ini juga, The Reds turut berdepan kegusaran apabila pemain utama seperti Sadio Mane, Jordan Henderson dan Andy Robertson dikatakan sedang dihimpit isu kecederaan selepas mengharungi aksi antarabangsa.
Situasi itu menyebabkan tugas berdepan Arsenal sudah pasti menjadi sukar ketika lawan mereka itu sudah mengharungi 10 perlawanan tanpa kalah, namun Klopp mengesahkan yang Mane berada dalam keadaan baik, malah Robertson juga mungkin boleh diturunkan.
Cuma Henderson yang menjadi kebimbangan, tetapi dijangka akan cergas sepenuhnya pada aksi Liga Juara-Juara minggu depan.
“Naby dan James kini berada dalam proses pemulihan yang positif dan semakin hampir untuk kembali mencapai tahap kecergasan terbaik.
“Kami jangka minggu depan mereka akan kembali menyertai latihan penuh bersama pasukan. Ia pastinya bukan untuk aksi minggu ini tetapi kita lihat nanti pada aksi bertemu Porto,” kata Klopp. – AGENSI