fbpx

Bandar Ann Arbor di AS beri tuala wanita dan tampon percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ANN ARBOR, MICHIGAN – Bandar Ann Arbor, Michigan telah menjadi bandar pertama di Amerika Syarikat(AS)  yang memberi mandat bahawa tampon dan tuala wanita mesti diberikan secara percuma di semua tandas awamnya, lapor United Press International (UPI) kelmarin.

Keputusan sebulat suara ahli Majlis Bandar Raya Ann Arbor  meluluskan ordinan tempatan baharu itu adalah yang pertama seumpamanya, lapor MLive.com.

Ordinan baharu yang disiarkan semalam  itu akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2022.

‘’Pihak Majlis Bandar Raya mendapati sabun, tisu tandas dan produk haid adalah penting untuk kesihatan umum dan kebajikan orang ramai. 

‘’Mereka berpendapat dengan memberikannya secara percuma, akan dapat mencegah penyebaran kuman, mengurangkan penularan patogen bawaan darah dan meningkatkan kebajikan masyarakat umum.

Produk sanitari itu akan disediakan ‘tanpa kos’ demikian menurut  ordinan itu, manakala sebarang pelanggaran boleh dikenakan denda sehingga AS$100 (RM418).

Ordinan ini terpakai kepada tandas yang tersedia untuk pelanggan, pelawat, pekerja, pemegang lesen, jemputan, pelajar atau orang awam lain seperti yang ditakrifkan dalam kod undang-undang negeri.

Ia terpakai tanpa mengambil kira penetapan jantina dan lebih meluas berbanding bandar lain yang hanya menggunakan langkah serupa untuk bangunan atau sekolah yang diuruskan oleh majlis perbandaran, lapor USA Today.

‘’Akses kepada produk haid adalah keperluan asas manusia. Ini soal kesihatan awam dan maruah peribadi. Ia adalah sesuatu yang harus diberikan kepada semua orang,’’ kata Datuk Bandar Ann Arbor, Christopher Taylor kepada USA Today. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI