PETALING JAYA – Mayat seorang lelaki ditemui rentung dalam satu kebakaran sebuah bengkel kereta di Bukit Puchong, di sini hari ini.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.46 petang sebelum bergegas ke lokasi dan tiba 13 minit kemudian.
“Seramai 20 anggota dan tiga pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, Serdang dan Cyberjaya telah dikejarkan ke lokasi bagi membantu melakukan kerja-kerja pemadaman dan menyelamat.
“Setibanya di lokasi, anggota bertugas mendapati kebakaran melibatkan sebuah bengkel kenderaan dua tingkat dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Norazam, kebakaran dapat dikawal pada pukul 3.01 petang dan pada pukul 3.28 petang, mayat seorang mangsa rentung telah ditemui di dalam sebuah bilik kecil di tingkat bawah bengkel tersebut.
“Mangsa yang maut dikenali sebagai V. Kannadasan berusia 34 tahun dan kerja-kerja mencari mangsa lain di tingkat satu bangunan masih dijalankan oleh pihak bomba,” ujar beliau.- K! ONLINE