“Tanpa memikirkan aku, yang selalu merenungmu.”
Itu antara bait-bait syahdu lirik single terbaharu penyanyi sensasi, Nabila Razali atau nama lengkapnya, Nur Nabila Mohd. Razali berjudul Putus.
Selepas Peluang Kedua yang mencipta fenomena luar biasa, Nabila ternyata seorang penyanyi yang bijak memilih karya untuk dinyanyikan, seterusnya dikongsikan kepada peminat.
Ditulis komposer dari seberang, Erwin Purnama dan Nabila sendiri, Putus memberi bukti kuat bahawa Nabila bukan seorang penyanyi ‘one hit wonder’.
Keberadaannya dalam industri akan memberikan lebih banyak lagi warna menarik kepada sesiapa yang mengikuti ruang kerjayanya.
Secara peribadi, Putus mempunyai potensi besar untuk menjadi siulan ramai, sama ada berputar dari setiap konti radio ataupun dalam kebanyakan pelantar muzik digital.
Melodi dan perkongsian liriknya sangat sinonim dan senang berhubung dengan setiap pendengar.
Komersial, ‘clarity’
Dikategorikan sebagai lagu balada, Putus cukup serba-serbi dari segi komposisi muzik, nukilan lirik mencengkam dan paling penting, aspek komersial.
Tiada secebis penafian bahawa lagu berkenaan tidak akan pergi jauh atau kurang melekat di halwa telinga peminat.
Satu perihal yang penulis hormat tentang Nabila tentang kualiti nyanyiannya. Biarpun bukanlah berstatus ‘vocal powerhouse’, namun dari segi sebutan dan kejelasan (clarity) vokal, dia sentiasa melunaskan tanggungjawab dengan cermat dan cemerlang.
Jika tidak percaya, dalam kebanyakan lagu yang pernah diabadikannya, kejelasan cara atau gaya nyanyiannya memang sentiasa terjaga.
Setiap butir perkataan dilantunkan dengan penuh apresiasi dan ketekunan.
Itu juga dilunaskan Nabila menerusi Putus yang berkisar tentang kehilangan tersayang disebabkan sudah berpaling tadah.
‘Mood’ lagu sangat bersesuaian dengan ton suara Nabila yang boleh disifatkan semakin hari, semakin selesa menyatu dalam irama balada selepas Peluang Kedua mencipta magis tersendiri.
Tanpa Hael Husaini
Putus juga memberi petanda bahawa Nabila bukan sekadar penyanyi. Dia juga mampu menggubah atau menulis lagu dan itu telah dilakukan dengan baik apabila turut menjawat peranan sebagai penulis Putus.
Seperkara lagi, Nabila membuka menambah nilai dalam portfolio kerjaya nyanyiannya apabila terbuka bekerjasama dengan komposer selain daripada Hael Husaini yang sebelum ini bertanggungjawab melahirkan beberapa lagu hitnya.
Dengan pemasaran berkesan daripada pasukan, kedekatan penyanyi wanita tersebut dengan peminat dan kecenderungan yang kian berkembang, Putus berpotensi mengikut jejak langkah Peluang Kedua. Putus akan menjadi siulan dan barangkali mendakap Anugerah Platinum setanding impak ditinggalkan karya terdahulu.