fbpx

TFC benam Sarawak 4-2 untuk ke separuh akhir Piala Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Skuad Sang Penyu garang benam Sarawak 4-2 di Shah Alam

SHAH ALAM – Pasukan Terengganu FC (TFC) melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia dengan bergaya selepas membenam Sarawak United FC 4-2 pada aksi suku akhir kedua di Stadium UiTM, Shah Alam sebentar tadi.

Kemenangan tersebut memastikan skuad Sang Penyu mara ke pusingan dengan agregat 6-3 selepas skuad kendalian Nafuzi Zain menewaskan Sarawak 2-1 pada suku akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Ahad lalu.

Terengganu bermula garang apabila terlebih dahulu membuka jaringan menerusi gerakan cantik Faiz Nasir sebelum berjaya disudahkan Jordan Mintah pada minit kedua.

Meskipun Sarawak United cuba bangkit namun Terengganu FC menambah derita buat naib juara Liga Perdana tersebut apabila rembatan deras Faisal Halim berjaya meledak gol kedua buat Terengganu pada minit ke-11.

Tersentak dengan keadaan tersebut, Sarawak United cuba mencari peluang namun tandukan Norshahrul Idlan Talaha mudah dibaca penjaga gol, Suhaimi Husin dengan menangkap kemas percubaan itu.

Skuad Penyu yang lebih banyak mendominasi perlawanan tersebut terus selesa apabila rembatan kencang kaki kiri, Faiz Nasir berjaya mengatasi penjaga gol Sarawak, Mohd. Sharbinee Allawee Rami untuk meletakkan Terengganu 3-0 pada penghujung babak pertama.

Sedar kerap diasak, Sarawak dilihat melakukan pertukaran taktikal dan saling berbalas serangan ketika separuh masa kedua perlawanan bermula.

Bagaimanapun, cubaan gerakan Sarawak di barisan depan mudah dipatahkan oleh benteng pertahanan Terengganu FC.

Jordan Mintah dinobatkan sebagai wira apabila meledak gol peribadi kedua pada minit ke-64 sekali gus memastikan Terengganu terus selesa mengemudi perlawanan tersebut.

Sarawak bangkit pada penghujung perlawanan apabila Sandro Da Silva Mendoca berjaya membuka gol pada minit ke-72 sebelum Uche Agba menyumbat gol kedua pada minit ke-89. Bagaimanapun, keputusan 4-2 kekal sehingga wisel penamat. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI