PETALING JAYA – Seorang bapa berdepan detik cemas hampir kehilangan anaknya apabila kanak-kanak itu lemas di dalam kolam renang yang dipasang di pekarangan rumah mereka.
Melalui perkongsian di Facebook lelaki itu yang dikenali sebagai Abdul Rahim, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.20 petang semalam sewaktu anak bongsunya sedang bermain seorang diri berhampiran kolam tersebut.
“Ini video dan kronologi apa yang berlaku kepada keluarga kami dalam tempoh 24 jam yang lepas, harap jadi iktibar kepada ibu bapa yang lain.
“Pukul 3.20 petang anak bongsu kami lemas dalam kolam ketika bermain. Dia telah ambil kerusi dari belakang rumah dan panjat penghadang,” katanya.
Menurutnya, kolam itu dipasang di pekarangan kediaman tersebut bagi tujuan mengajar anak-anaknya pengetahuan berenang dan apungkan badan dalam air ketika kecemasan.
Bagaimanapun, hanya dua orang anaknya mempunyai kemahiran tersebut manakala mangsa masih sedang mempelajari teknik itu.
Abdul Rahim berkata, tindakan pantas abang kepada kanak-kanak itu memaklumkan mengenai kejadian tersebut berjaya menyelamatkan nyawa anak bongsunya itu.
“Isteri saya, seorang bekas jururawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dengan tenang melakukan bantuan pernafasan CPR ke atas anaknya sendiri yang sudah tidak bergerak ketika itu.
“Badannya sudah keras dan membulat semasa CPR, tiada respon apa-apa langsung. Memang dah terasa seperti kehilangan anak kami masa itu. Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T setelah lakukan CPR dengan sabar sambil memanggil-manggil nama anak kami tanpa mengalah, anak kami kemudian merengek dengan perlahan,” tambahnya.
Menurut Abdul Rahim, anak bongsunya itu kemudian dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan dan kini sedang berada dalam keadaan stabil.
“Kami jadikan ini pengajaran dan pengalaman betapa pentingnya pengetahuan CPR. Tanpa tindakan pantas isteri saya semalam, kami mungkin kehilangan anak kami selama-lamanya dan menghabiskan baki usia kami dengan penyesalan yang tak berkesudahan. Tak dapat malah tak sanggup kami bayangkan.
“Kami juga jadikan ini pengajaran kepada kami yang mana setinggi mana penghadang sekalipun, anak tetap boleh ambil kerusi dan panjat. Pengawasan maksima ke atas anak-anak sentiasa diperlukan,” ujarnya. – K! ONLINE