LONDON – Bekas pelumba Formula Satu (F1), Felipe Massa menegaskan peluang pemandu Red Bull, Max Verstappen untuk berjuang meraih gelaran dunia kini dilihat lebih sukar selepas Lewis Hamilton tampil cemerlang di Grand Prix (GP) Brazil Ahad lalu.
Massa mengakui Mercedes melakukan tindakan berani melakukan perubahan komponen enjin jentera Hamilton sekali gus berjaya mempamerkan peningkatan luar biasa ketika aksi di Litar Interlagos, Brazil.
Situasi itu menimbulkan rasa cemas pasukan Red Bull memandangkan perlumbaan hanya berbaki tiga pusingan dan Hamilton yang dipisahkan 14 mata di belakang Verstappen.
“Situasi perebutan kejuaraan ketika ini sangat menarik sejurus Mercedes mencatat kemenangan bergaya di Brazil. Kunci kejayaan Hamilton bermula di perlumbaan pecut dan di situ Mercedes mula mencongak prestasi jentera mereka dalam baki tiga pusingan musim ini.
“Sudah pasti kemuncak adalah kemenangan Hamilton pada perlumbaan sebenar. Saya yakin, Verstappen akan berdepan masalah kerana Mercedes akan bangkit pada baki tiga perlumbaan nanti,” katanya.
Massa juga menegaskan, perebutan gelaran F1 juga pasti menarik apabila kedua-dua pemandu itu akan berlumba di litar baharu di Qatar dan Arab Saudi.
“Saya yakin Verstappen mahupun Hamilton tidak berdepan sebarang masalah untuk mendapatkan keserasian dengan cepat di Qatar dan Arab Saudi.
“Mereka hanya memerlukan 10 pusingan untuk membaca karakter trek baharu tersebut. Jadi, pertarungan perebutan gelaran dunia akan ditentukan sehingga akhir pusingan perlumbaan,” jelasnya. – AGENSI