fbpx

Atlet sukan ekstrem mampu ke Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Datuk Seri Ti Lian Ker (kanan) hadir ketika pelancaran Pembukaan Semula Kiara Skatepark baru-baru ini.
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

SEKIRANYA lebih banyak pembabitan pihak swasta dalam membantu sukan ekstrem, tidak mustahil sukan seperti papan selaju di negara ini mampu pergi lebih jauh termasuk ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles (2028).

Ketika ini, kerajaan dilihat mula mengalihkan tumpuan kepada sukan-sukan lain seperti BMX mahupun papan selaju yang dilihat mampu menjadi prospek pingat baharu di Sukan Olimpik.

Pada temasya Sukan Olimpik Tokyo, rata-rata atlet yang menjuarai sukan itu terdiri daripada mereka yang berusia belasan tahun.

Antaranya ialah atlet umur 13 tahun dari Britain, Sky Brown yang meraih gangsa selain atlet wanita Jepun, Kokona Hiraki yang meraih perak pada usia 12 tahun.

Presiden Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MYSKATE), Idroose Tambarin mengakui, Malaysia mempunyai ramai atlet berbakat, namun masalah kewangan menjadi kekangan buat mereka untuk pergi lebih jauh.

Justeru, pihaknya mengharap­kan sokongan daripada pihak swasta dan kerajaan bagi me­rencanakan agenda memperkasa sukan ekstrem terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

“Mengikut perancangan awal, kelayakan Olimpik akan bermula pada Jun 2022 dan terdapat tiga pertandingan yang perlu disertai untuk mengutip mata.

“Situasi semasa ini agak rumit terutama kerana berkait soal kewangan, jadi penglibatan dan bantuan daripada pihak swasta serta kerajaan amat diperlukan untuk membantu mereka layak ke Olimpik.

“Jika mereka mempunyai penaja, tidak mustahil atlet-atlet yang bakal terpilih ini mampu menyertai kejohanan di luar negara sebagai persiapan menuju ke Sukan Olimpik kelak.

“Kita jangkakan kos minimum termasuk latihan persediaan ke Sukan Asia 2022 dan program pembangunan sehingga ke Sukan Olimpik adalah kira-kira RM400,000,” katanya.

Dalam pada itu, Idroose berkata, pembukaan semula Kiara Skatepark pada Sabtu lalu sangat ditunggu-tunggu komuniti sukan ekstrem tempatan.

“Ini yang dinantikan peluncur dan peminat BMX terutama di Lembah Klang dan juga seluruh Malaysia. Kita nampak banyak program boleh dilaksanakan di sini dari segi pembangunan, terutama apabila papan selaju sudah ada dalam Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

“Saya akui, kita mempunyai bakat-bakat muda terbaik, namun peluang dan ruang tidak dapat diberikan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa membuka pintu buat persatuan sukan untuk melakukan perbincangan terutama bagi penyertaan di pentas antarabangsa.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, pihaknya mahu melihat atlet sukan ekstrem negara bertanding di Sukan Olimpik dan bersedia menggerakkan usaha mencapai impian itu.

“Kalau boleh kita mahu sukan-sukan seperti ini terutama atlet Malaysia menuju ke Sukan O­limpik. Kalau kita lihat, mereka mempunyai bakat dan kita perlu asah bakat-bakat sedia ada ini.

“Kita juga perlu mencari dan mengenal pasti atlet-atlet baharu yang berpotensi malah memberi mereka kemudahan sepenuh­nya. Saya berpendapat terdapat pasaran yang luas dalam sukan ini dan selaras dengan dasar kita memang kita perlu kerjasama daripada pihak swasta,” katanya.

Malaysia bakal menyertai 10 atlet untuk bersaing dalam tiga disiplin sukan antaranya street, park, speed skating, inline freestyle di Sukan Asia kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI