KUALA LUMPUR – Negeri Selangor disifatkan sebagai lokasi yang ideal bagi pelabur asing mewujudkan hab perniagaan global, khususnya dalam memenuhi pertumbuhan permintaan di rantau ASEAN yang kini pesat berkembang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini kerana Selangor adalah pintu masuk ASEAN kerana kedudukannya yang strategik, disokong kemudahan infrastruktur
lengkap termasuk dua lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan kontena kedua terbesar di rantau ini dan rangkaian jalan raya serta landasan kereta api yang maju.
“Hal ini ditambah dengan rantaian nilai yang mantap dalam pelbagai industri, daripada aero angkasa sehingga farmaseutikal dan sektor halal serta ketersambungan berstruktur sama ada dalam atau di luar talian.
“Selangor sememangnya menawarkan kelebihan yang tidak ternilai buat pelabur asing yang memiliki perancangan untuk menembusi pasaran ASEAN dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2021 semalam.
Majlis disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mewakili Sultan Selangor.
Persidangan selama empat hari sehingga 21 November itu menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (F&B), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor, Konvensyen Ekonomi Digital dan Bandar Pintar Selangor, Ekspo Inovasi dan R&D Selangor, Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) serta Ekspo Taman Perindustrian Selangor.
Acara tahunan tersebut turut menyaksikan pelancaran Inisiatif Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor dan Garis Panduan Standard Pengurusan Taman Perindustrian Selangor.
Tahun lalu, Selangor menerima pelaburan langsung asing dan domestik bernilai RM38.7 bilion, yang mana sejumlah RM18.4 bilion daripadanya disumbangkan oleh sektor pembuatan, manakala selebihnya daripada sektor primer dan perkhidmatan.