PADA masa ini, keghairahan orang ramai melakukan aktiviti berkhemah atau camping sama ada di kawasan pantai, hutan dan juga tapak perkhemahan persendirian masih belum reda dan mereka semakin ‘galak’ dalam aktiviti tersebut.
Aktiviti berkenaan menjadi rancak selepas kerajaan memberi kebenaran untuk merentas negeri bermula 11 Oktober lalu.
Biarpun musim hujan melanda beberapa kawasan perkhemahan pada masa ini, tetapi ia tidak melemahkan semangat mereka yang begitu berkobar-kobar selepas sekian lama berkurung dalam rumah ekoran pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan.
Setiap hari, kedai-kedai yang menjual peralatan perkhemahan diserbu orang ramai bagi mendapatkan khemah dan barang-barang asas untuk aktiviti itu mengikut bajet dan keperluan masing-masing.
Dalam keghairahan acara perkhemahan yang dilihat oleh sesetengah orang sebagai bermusim itu, terselit hikmah tersendiri yang sebenarnya ramai yang tidak sedar tentang kebaikan daripada aktiviti tersebut.
Ramai ibu bapa yang turut membawa bersama anak-anak meluahkan perasaan bersyukur kerana dapat mengajar mereka berdikari untuk menjalani kehidupan lebih bermakna pada masa depan.
Jika di rumah, kebanyakan anak-anak ini asyik ‘berkepit’ dengan gajet tanpa menghiraukan dunia sekeliling hinggakan tidak mengetahui perkembangan yang berlaku di kejiranan mereka disebabkan terlalu asyik dan leka dengan dunia ciptaan sendiri.
Di tapak perkhemahan, biarpun telefon pintar atau gajet masih di genggaman, tetapi persekitaran hutan, mahupun sungai atau pantai membuatkan mereka terpukau dan melupakan sekejap dunia digital dan turut serta untuk berdampingan dengan alam.
Bagi mereka, rugi rasanya tidak menghargai anugerah alam tersebut dengan aktiviti mandi-manda, bermain dengan rakan-rakan dan membantu ibu bapa dalam banyak hal seperti menjadi penolong cef untuk memasak makanan.
Mereka sedar, suasana di tapak perkhemahan tidak sama dengan rumah yang mana sentiasa terperuk dalam bilik dan jauh dari pandangan ibu bapa dan keluar hanya pada waktu makan.
Lain halnya di lokasi perkhemahan apabila ibu bapa sentiasa berada di depan mata dan mahu tidak mahu, mereka harus membantu memasak makanan, jika tidak lambatlah dapat menjamah hidangan.
Kalau di rumah, anak-anak begitu liat untuk membasuh pinggan selepas menikmati hidangan, tetapi lain halnya di tempat perkhemahan, mereka pada mulanya terpaksa melakukannya disebabkan akan digunakan sebagai bekas untuk hidangan berikutnya.
Jika direnung dalam-dalam dan difikir masak-masak, aktiviti keluarga berkhemah ini banyak mengajar erti kehidupan dalam mendewasakan anak-anak yang menjadi pewaris negara pada masa depan.