fbpx

Kisah pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2021, Abdulrazak Gurnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDULRAZAK dianugerahkan Hadiah Nobel Kesusasteraan 2021 atas penulisannya yang mengupas tentang kolonialisme dan nasib pelarian.

SEWAKTU kecil, tidak pernah terlintas di fikiran Abdulrazak Gurnah bahawa dia akan menjadi seorang penulis suatu hari nanti.

“Ia tidak pernah terfikir oleh saya. Ia bukan sesuatu yang boleh saya katakan sewaktu membesar bahawa saya akan menjadi seorang penulis.

“Pada ketika itu, saya menganggap akan menjadi seseorang yang berguna seperti jurutera,” jelas lelaki berasal dari Zanzibar iaitu sebuah pulau yang terletak di luar pantai Tanzania.

Pada tahun 1964, ketika pemberontakan ganas berlaku di negaranya telah memaksa Abdulrazak yang ketika itu berusia 18 tahun melarikan diri ke Britain.

Dihantui rasa sedih, miskin dan rindukan kampung halaman telah mendorongnya untuk meluahkan perasaan itu dalam bentuk coretan di dalam diarinya.

Semua itu membuatkannya semakin minat untuk menulis dan mendokumentasikan tentang apa yang dirasai sehingga lahir novel pertamanya berjudul Memory of Departure yang diterbitkan pada 1987.

Dia turut menerbitkan karya-karya lain mengupas tentang peperangan, kolonialisme dan nasib pelarian.

Pengabdiannya dalam bidang penulisan membolehkan Abdulrazak dinobatkan sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2021. Kemenangannya itu diumumkan oleh Akademi Sweden atas penulisannya yang mengupas mengenai kolonialisme dan nasib pelarian.

SEPANJANG penglibatannya dalam bidang penulisan, Abdulrazak telah menghasilkan banyak buku yang meninggalkan kesan kepada pembaca.

Abdulrazak ketika dimaklumkan mengenai kemenangannya menjelaskan, pada mulanya beliau percaya itu hanya khabar angin.

“Saya fikir ia adalah gurauan. Kemenangan bukan sesuatu yang terlintas dalam fikiran saya.

“Saya hanya berfikir dan tertanya-tanya siapa yang akan mendapatkannya. Saya amat berbesar hati apabila dianugerahkan hadiah yang tidak ternilai ini,” jelasnya.

Abdulrazak menjadi warga kulit hitam kedua menerima hadiah bagi kategori itu selepas Wole Sonyinka pada 1986.

Beliau mula menulis karya-karya fiksyen ketika berusia 21 tahun.

Selain itu, Abdulrazak juga memilih bahasa Inggeris berbanding bahasa ibundanya, Swahili untuk karya sasteranya.

Dalam pada itu, sepanjang penglibatan dalam bidang penulisan, beliau telah menghasilkan 10 novel termasuk Memory of Departure, Pilgrims Way dan Dottie yang semuanya menceritakan pengalamannya sebagai pendatang di England.

ABDULRAZAK pernah menjawat jawatan sebagai profesor Kesusasteraan Inggeris dan Pasca Kolonial di Universiti Kent, Canterbury.

Bagi karya berjudul Paradise yang disenarai pendek untuk Hadiah Booker pada 1994, menceritakan tentang seorang budak lelaki di negara Afrika Timur yang sengsara akibat penjajahan.

Novel ini juga ditulis berdasarkan rujukan daripada beberapa karya sastera klasik lain seperti Heart of Darkness karya Joseph Conrad, dokumen Swahili abad ke-19 dan kisah Nabi Yusuf di dalam Al-Quran.

Dalam satu temu bual pada awal tahun ini, Abdulrazak mengulas tentang usahanya untuk memberi gambaran bagaimana kehidupan penuh sengsara akibat perang dan kolonialisme dalam buku terbaharunya, Afterlives.

Buku itu jelasnya, menceritakan tentang perkauman, penyerahan diri dan pengorbanan.

“Saya dikelilingi oleh orang yang mengalaminya secara langsung dan ia sesuatu yang perlu dihebahkan kepada umum.

“Kisah-kisah ini telah bersama saya selama ini. Apa yang saya perlukan adalah masa untuk menyusunnya dalam bentuk cerita. Karya ilmiah saya juga telah membentuk kisah-kisah ini,” bicaranya.

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai profesor Kesusasteraan Inggeris dan Pasca Kolonial di Universiti Kent, Canterbury, England dan bersara pada 2017.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Nobel, Anders Olsson berkata, hasil karya Abdulrazak daripada novel pertamanya sehingga yang terbaharu telah membuka pandangan masyarakat dunia terhadap Afrika Timur.

“Beliau secara konsisten dan penuh belas kasihan telah mengulas kesan penjajahan di Afrika Timur dan kesannya terhadap kehidupan individu di situ dan juga yang berhijrah,” katanya.

Sementara itu, Alexander Pringle yang merupakan seorang editor buku berkata, kemenangan Abdulrazak adalah ‘paling wajar’ untuk seorang penulis yang sebelum ini tidak menerima pengiktirafan sewajarnya.

“Beliau adalah seorang penulis hebat dari Afrika yang masih hidup dan tiada siapa yang pernah mengambil tahu tentangnya. Ini mengecewakan saya.

“Abdulrazak selalu menulis tentang penghijrahan dengan cara yang paling indah,” katanya.

ABDULRAZAK meninggalkan negaranya kerana revolusi yang berlaku pada tahun 1964 menggulingkan pemerintahan monoriti Arab Zanzibar.

Tambahnya, Abdulrazak juga adalah seorang penulis yang sama pentingnya dengan Chinua Achebe. Beliau seorang penulis yang luar biasa, menulis tentang perkara sangat penting.

Di samping itu, pengarang portal The Conversation, Misha Ketchell turut gembira dengan kemenangan Abdulrazak.

“Apa yang paling menyerlah bagi saya tentang dia adalah eksplorasi berpanjangannya tentang kisah-kisah pilu yang mencengkam jiwa.

“Dia menyebabkan saya sendiri berasa pilu. Novelnya amat mendalam tentang kisah-kisah perpisahan keluarga, pengkhianatan tiada berkesudahan serta kehilangan yang sulit untuk dilupakan.

Dalam pada itu, walaupun nama Abdulrazak menjadi perbincangan dunia di saat beliau dianugerahkan hadiah Nobel tahun ini, secara hakikatnya beliau sebenarnya kurang dikenali di negara asalnya, Tanzania.

“Jika anda memperlihatkan gambar Abdulrazak kepada orang-orang di sini, mereka akan melihat sosoknya untuk pertama kali.

“Hanya sebahagian kecil orang di Tanzania mengetahuinya,” kata penulis dan penyair dari Zanzibar, Ally Saleh.

Hasil karya Abdulrazak banyak dipasarkan di England, tempat beliau menetap selama lima dekad.

Namun begitu, kebanyakan novel karyanya menganalisis isu-isu yang dekat dengan orang-orang Zanzibar.

Melalui karya-karyanya, Abdulrazak meneroka kesan penjajahan terhadap identiti Afrika Timur serta pengalaman pelarian yang terpaksa mencari tempat lain untuk berlindung.

Beliau meninggalkan rumahnya pada usia 18 tahun, melarikan diri daripada huru-hara dan keganasan Revolusi 1964 yang menggulingkan pemerintah minoriti Arab Zanzibar.

Selepas itu, Zanzibar bergabung dengan tanah besar iaitu Tanganyika untuk membentuk Tanzania.

Namun begitu, Abdulrazak mengekalkan hubungan yang kukuh dengan Zanzibar melalui karyanya.

Zanzibar berfungsi sebagai latar belakang untuk banyak cerita yang ditulisnya.

“Adalah penting bagi warga Tanzania membaca karya Abdulrazak. Karya beliau memaparkan realiti yang dihadapi rakyat Tanzania yang tinggal di dalam dan luar negara,” kata Pengarah Urusan Penerbitan Mkukina Nyota, Mkuki Bgoya.

Tambahnya, selalunya sebagai orang Afrika Timur, kita melihat dunia melalui sudut pandangan orang lain.

“Tetapi dengan karya Abdulrazak, kita boleh melihat diri kita sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI