fbpx

Dinie Rashid dilabel pura-pura buta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DINIE RASHID

KEJAYAAN merangkul anugerah Artis Lelaki Baharu Popular dalam majlis Anugerah Bintang Popular ke-34 (ABP34) baru-baru ini menjadi bukti keberadaan penyanyi ‘istimewa’, Dinie Rashid.

Namanya mungkin tidak semekar pe­nyanyi lain, namun kehadiran Dinie mewarnai persada muzik tanah air menjadi perhatian ramai kerana dianggap istimewa dan tersendiri.

Dinie atau nama lengkapnya Muhammad Dinie Abdul Rashid berkata, dia sentiasa sedar tentang kekurangan yang ada pada dirinya.

Namun kekurangan yang dimiliki itu bukanlah alasan untuk dia menjadi seorang insan lemah dan hanya meratapi nasib yang telah ditentukan oleh-Nya.

Setiap kali muncul membuat persembahan di mana-mana pentas hiburan, pasti tidak akan lepas di bibir pengacara menyebut tentang keadaan dirinya.

Ya, dia seorang penyanyi berstatus orang kelainan upaya (OKU) yang mempunyai masalah cacat penglihatan.

DINIE tidak pernah sesekali memancing emosi peminatnya dengan menggunakan kekurangan yang dimiliki untuk meraih populariti.

Dituduh menipu

Setiap kali berada di atas pentas, Dinie terpaksa dipimpin kerana masalah penglihatan yang dialaminya. Sehinggakan kekurangan dirinya itu menjadi bahan jenaka orang lain.

“Saya sedar kekurangan saya dan status diri sebagai OKU cacat penglihatan. Segan? Sejujurnya setiap orang pasti akan berasa segan.

“Bagi saya sendiri, saya kena ada rasa tanggungjawab untuk mendidik orang ramai kerana mereka hanya fikir OKU penglihatan ialah mereka yang buta sepenuhnya,” kata Dinie.

Disebabkan pemikiran sebegitu, Dinie pernah dilabel penipu oleh netizen. Dakwa mereka, Dinie boleh berjalan sendiri. Jadi, dia perlu menerangkan situasi sebenar supaya tidak disalah anggap.

“Saya pernah dilabel penipu berpura-pura buta. Malah ada juga yang kata saya ‘lalok’ kerana nampak saya boleh berjalan, tetapi tersepak itu dan ini.

“Saya juga dituduh menipu kerana tular video menunjukkan saya bermain futsal ketika menjayakan sebuah program tele­visyen.

“Orang ramai fikir mana ada orang buta boleh bermain futsal. Sama juga bila orang nampak saya pegang telefon bimbit dan pertikaikannya.

“Saya bukan mahu merendah-rendahkan diri sendiri tapi untuk memberitahu mereka yang belum mengenali saya sepenuhnya,” jelas Dinie.

Dedah penyanyi kelahiran Georgetown, Pulau Pinang itu lagi, dia pernah mengalami depresi gara-gara kecacatan yang dialaminya.

BIARPUN mengalami kecacatan penglihatan, kekurangan itu bukan alasan untuk Dinie bekerja keras mencapai impiannya untuk menjadi penyanyi berjaya.

Belajar

Ujar bekas peserta program Big Stage musim ketiga itu, dia pada asalnya dilahirkan sempurna, sama insan-insan lain di dunia sebelum dia disahkan menghidap sindrom ‘molecular dystrophy’ iaitu kerosakan saraf mata ketika berusia sembilan tahun.

“Saya dilahirkan normal sebelum nikmat penglihatan saya ditarik ketika berusia sembilan tahun. Jadi sejak daripada itu, pelbagai perkara saya lalui sehingga membuatkan saya tertekan,” ujarnya.

Menyentuh perkembangan terkini kerjaya seninya selain diangkat sebagai Artis Baharu Lelaki Popular ABP34, Dinie berkata, perjalanan kariernya kembali lancar selepas terhenti seketika di­sebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sejak Mac lalu.

Biarpun mengakui pada awalnya dia berasa agak tertekan, namun apa yang berlaku ada hikmahnya.

Diam-diam, Dinie mendedahkan bahawa dia sekarang sebenarnya berada di semester kedua apabila diberi peluang untuk mengikuti program khas menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak awal tahun lagi.

“Alhamdulillah saya dapat sambung mengajian saya di UiTM, Shah Alam di pe­ringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang muzik.

“Sekarang saya berada di semester kedua pengajian dan akan te­rus memberikan yang terbaik dalam bidang muzik sebab ini memang minat saya,” katanya.

DINIE berharap dapat melahirkan sebuah karya yang mampu meninggalkan kesan mendalam kepada peminatnya suatu hari nanti.

Jodoh

Sekadar mengusik dengan bertanyakan tentang status dirinya. Dinie mengaku pernah bercinta dengan seorang wanita selama lima tahun, namun hubungan mereka akhirnya berakhir dengan perpisahan.

Ditebak sama ada punca perpisahan itu adalah disebabkan kekurangan pada dirinya, Dinie berkata wanita berkenaan boleh terima dirinya seadanya.

Namun ketika si dia meluahkan hasrat untuk bernikah, Dinie terpaksa menolak kerana ketika itu dia mahu fokus dengan kerjaya selain belum bersedia untuk menjadi seorang suami.

“Ketika itu saya dalam proses membina kerjaya dan belum bersedia untuk menjadi seorang suami.

“Menjadi suami besar tanggungjawab­nya. Mungkin tiada jodoh antara kami dan hubungan itu terputus begitu sahaja,” katanya.

Pada usia 29 tahun, Dinie mengakui usianya bukan lagi muda.

Pada masa sama, dia merasakan dalam keadaan dirinya, tidak akan ada seorang wanita pun yang mahu mendekati dirinya disebabkan kecacatan yang dialaminya.

Ujar Dinie, wanita yang ingin mengahwininya perlu bersedia untuk sama-sama susah dan senang disebabkan kekurangan dirinya.

“Saya nak berjalan sendiri pun tersepak benda sana sini, apa lagi hendak memandu kereta.

“Asalkan calon isteri nanti boleh menjaga saya, itu sudah cukup memadai,” katanya menutup kata.

DINIE pernah putus cinta gara-gara diri sendiri yang belum bersedia untuk serius memasuki alam perkahwinan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI