fbpx

Bekas pengurus, dua jurutera didakwa beri rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chavda Narendrakumar (dua dari kiri), Kansara Sanjay (tengah) dan Patel Gaurangkumar dibawa untuk pertuduhan cuba merasuah anggota polis di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor hari ini.- Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Seorang bekas pengurus dan dua bekas jurutera warganegara India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM2,922 kepada anggota polis, September lalu.

Tertuduh, Kansara Sanjay Bhojabhai, 42, Chavda Narendrakumar Ranjitsinh, 35 dan Patel Gaurangkumar Hasmukhbhai, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamil Arifin Ismail.

Bagaimanapun, Ahmad Kamil mengarahkan kesemua tertuduh yang merupakan bekas pekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, dekat sini untuk melantik jurubahasa dalam bahasa ibunda mereka.

Hakim turut memerintahkan kes disebut semula pada 22 Disember ini setelah ragu-ragu ketiga-tiga lelaki itu faham akan implikasi pengakuan yang dibuat serta hukuman yang boleh diambil terhadap mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, Kansara, Chavda dan Patel telah merasuah anggota polis berpangkat Lans Koperal sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang undang ke atas mereka.

Mereka didapati melanggar prosedur operasj standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan berhimpun di dalam premis, di sini dalam kawasan tempatan jangkitan bagi tujuan sosial.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 10.16 malam di Balai Polis Sentral, Jalan Meldrum, di sini, 3 September yang lalu.

Bagi perbuatan itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 seorang dengan dua penjamin warga tempatan bagi setiap seorang selain mengarahkan pasport diserahkan dan melapor di Pejabat SPRM Johor Bahru pada setiap bulan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI