fbpx

Kenakan faedah lebih tinggi, premis pajak gadai tidak berlesen diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fauzi (dua kanan) menunjukkan sebahagian barang rampasan barang kemas pada sidang akhbar di KPKT, Putrajaya hari ini.

Oleh FAIZUL GHAZI

PUTRAJAYA – Seramai 11 individu ditahan dalam serbuan terhadap empat premis pajak gadai tidak berlesen termasuk satu di Masai, Johor dan tiga di Lembah Klang, pada Oktober lalu.

Ketua Cawangan Siasatan dan Pemantauan (Bahagian Kawalan Kredit Komuniti) KPKT, Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Fauzi Hassan berkata, hasil serbuan berkenaan, pihak berkuasa merampas pelbagai jenis barang kemas termasuk gelang, subang, rantai dan cincin dianggarkan bernilai RM99,855 dan wang tunai berjumlah RM13,437.

Katanya, turut dirampas pelbagai peralatan termasuk alat penimbang emas; cecair asid penguji ketulenan emas; komputer riba dan surat menyerupai resit pajak gadai.

“Kita sudah membuka empat kertas siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 (Akta 81) kerana menjalankan perniagaan pemegang pajak gadai tanpa lesen yang sah.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan apabila kertas siasatan lengkap kita akan serahkannya ke bahagian undang-undang untuk tindakan pendakwaan di Mahkamah di Petaling Jaya dan Johor Bahru, dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Fauzi berkata, siasatan juga mendapati kedai pajak gadai haram berkenaan mengenakan kadar faedah lebih tinggi berbanding premis berlesen iaitu antara 3 hingga 5 peratus sebulan iaitu melebihi apa yang ditetapkan mengikut Akta 81 iaitu hanya 2 peratus sebulan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI