PETALING JAYA – Selepas Yuna dan Layla Sania, penyanyi Iman Troye, menjadi penyanyi berhijab ketiga Malaysia yang menghiasi papan iklan digital gergasi di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS).
Pemilik nama sebenar Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 19, itu meluahkan rasa syukur dan terharu memperoleh pengiktirafan besar seumpama itu.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas penghormatan ini. Ini satu kejayaan besar buat saya yang masih agak baru dalam industri muzik tempatan.
“Apatah lagi sebagai seorang penyanyi wanita berhijab, ia sesuatu yang diharap memberi inspirasi. Moga ini juga menjadi penyuntik semangat untuk saya terus berkongsi bakat.
“Selain itu, saya turut berterima kasih atas segala doa dan sokongan yang tidak pernah padam daripada keluarga, rakan-rakan serta peminat saya,” katanya.
Iman Troye merupakan artis Malaysia keempat yang ditampilkan di papan iklan New York Times Square termasuk kumpulan Dolla, September lalu.
Mereka antara selebriti yang menjayakan kempen EQUAL bawah kendalian platform muzik digital, Spotify dalam memupuk ekuiti dan mengetengahkan artis wanita dari seluruh dunia.
Melalui kempen tersebut, penyanyi Teman serta Nang yang mewakili Malaysia dan Singapura antara 35 senarai ‘playlist’ membabitkan artis dari lebih 50 negara.
Namanya mula menyerlah selepas membuat rakaman lagu saduran penyanyi tempatan menerusi platform media sosial.
Malah di tengah-tengah kebanjiran ramai bakat baharu, Iman mencipta fenomena menerusi single Teman yang meraih lebih 45 juta tontonan dalam laman YouTube.
Manakala dendangan khas untuk Syawal yang dilancarkan pada musim perayaan tahun ini berjudul Pejam Celik Hari Raya turut mendapat tontonan sebanyak 11 juta. – K! ONLINE