PETALING JAYA – Selepas teruk dikecam gara-gara penularan gambar mesra dengan seorang lelaki di dalam sebuah kelab hiburan, penyanyi Baby Shima mendedahkan aksi berkenaan hanya sebahagian daripada babak video muzik (MV) terbaharunya yang berjudul Lalai.
Kata penyanyi dangdut itu, dia bukan sengaja mencetuskan gimik dengan cara mencipta kontroversi murahan namun harus membuat pengakuan sebenar tentang apa yang telah berlaku. Dia juga tidak sanggup terus dikecam netizen tanpa tahu hujung pangkal.
“Saya tidak akan melakukan gimik yang boleh memalukan dirinya. Pastinya saya tidak memilih cara itu untuk mencari populariti. Bila saya tengok komen semuanya menulis seolah-olah percaya tanpa tahu perkara sebenar.
“Saya nak bagi penjelasan, ramai komen memaki, menuduh dan macam-macam tanpa tahu perkara sebenar. Memang saya ke club, tapi bukan suka-suka. Kadang-kadang saya malas terangkan sebab apa yang keluar dari mulut saya orang takkan percaya.
“Cukup-cukuplah memburukkan saya, menjatuhkan saya. Saya tak kacau kehidupan korang pun. Biar saya bahagia dengan cara saya. Itu ‘shooting’ untuk MV Lalai, ” katanya menerusi kenyataan dalam Instagram sambil menangis.
Impak tertekan dengan kutukan netizen yang tidak pernah habis, dia turut mendedahkan terpaksa mengambil pil penenang bagi merawat emosinya.
Terdahulu, sejak kelmarin platform media kecoh dengan penularan gambar panas pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli, 28, di sebuah pusat hiburan seakan-akan sedang mencium pipi seorang lelaki.
Biarpun mengakui itu adalah gambar dirinya, Shima bagaimanapun mengambil pendekatan enggan mendedahkan siapa lelaki terbabit tanpa mahu memperincikan situasi tersebut kepada umum.
Sebaliknya, penyanyi yng sedang mencipta nama di Indonesia itu cuma mengakui terkejut bagaimana gambar itu boleh tersebar.
Sementara itu, bekas peserta D’Academy Asia turut menyifatkan penyebaran gambar berkenaan sebagai usaha seseorang yang berniat mahu dirinya semakin dibenci masyarakat.
“Saya nak minta maaf mengenai gambar yang tersebar itu. Saya pun tak tahu datang dari mana. Mungkin orang yang sebarkan itu cuba nak memburukkan nama saya.
“Saya percaya orang ini mahu menjatuhkan saya dan memalukan saya serta buat orang benci lagi pada saya. Saya tahu tujuannya itu dan mungkin dia rasa puas apabila berjaya buat begini,” katanya lagi.
Pada masa sama, Shima memaklumkan jawapan terhadap kecaman atau siapa lelaki dalam gambar tular tersebut boleh diikuti dalam video muzik Lalai menerusi YouTube. – K! ONLINE