PETALING JAYA – Inisiatif sebuah masjid menyediakan sejadah serta tabung derma sejadah dipuji orang ramai.
Melalui satu hantaran pengguna Twitter _hasrul, sistem yang dilaksanakan oleh masjid berkenaan bersesuaian bagi membantu individu yang hendak menunaikan solat di masjid tetapi terlupa membawa sejadah sendiri.
Hantaran itu disertakan dengan sekeping gambar memaparkan pihak masjid menyediakan sejadah yang sudah disanitasi berserta dengan sebuah bakul bagi meletakkan sejadah yang sudah digunakan dan tabung sejadah bagi tujuan kos mencuci dan mensanitasi.
Difahamkan, inisiatif itu dilaksanakan di Masjid Al-Ikhlas yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
“Masjid atau surau with this kind of system is the best (dengan sistem sebegini adalah terbaik). Tidaklah orang datang nak solat sekali kena halau sebab tak ada sejadah. Atau lebih teruk, suruh beli sejadah yang mereka jual RM10. Sedap buat duit,” ciapnya.
Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan pihak masjid yang berusaha memudahkan urusan jemaah yang mahu menunaikan solat di masjid berkenaan.
“Bagusnya, kesian dengar kawan-kawan ada yang kena balik sebab tak bawa sejadah atau bawa sejadah kecil,” kata Siti.
“Ya, tolonglah semua masjid buat macam ini. Pernah nak solat di masjid tapi kena halau sebab tiada sejadah, tapi bawa telekung. Selalu akan lapik pakai tudung kalau lupa, tapi masjid tetap tak benarkan masuk,” kata Nuren.
“Harapnya lebih banyak masjid buat begini dan tak suruh budak-budak duduk di bahagian paling belakang atau luar masjid. Paling old school membuatkan budak dari kecik lagi tak nak pergi masjid,” kata Amir.
Terdahulu, susulan penularan wabak Covid-19 di seluruh negara, kebanyakan negeri mewajibkan jemaah membawa sejadah dan telekung sendiri semasa menunaikan solat di masjid, surau atau bilik-bilik sembahyang yang disediakan oleh pemilik-pemilik premis perniagaan. – K! ONLINE