PUTRAJAYA – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) Tahun 2021 boleh memuat turun jadual waktu bagi peperiksaan tersebut yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bermula hari ini.
KPM dalam satu kenyataan akhbar memaklumkan, jadual waktu bagi ketiga-tiga peperiksaan itu boleh dimuat turun melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan di pautan http://lp.moe.gov.my.
“Sehubungan itu, semua calon diingatkan merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi.
“Calon juga boleh merujuk Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 3.0 yang telah dimuat naik di portal rasmi KPM https://www.moe.gov.my/ dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, ia bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak Covid-19 malah, KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.
Jadual waktu peperiksaan atau ujian itu melibatkan Jadual Waktu Ujian Bertutur Bahasa Melayu, Ujian Mendengar Bahasa Melayu, Ujian Bertutur Bahasa Inggeris, Ujian Mendengar Bahasa Inggeris dan Ujian Amali Sains Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2021.
Seterusnya, Jadual Waktu Peperiksaan SPM Tahun 2021, Jadual Waktu Peperiksaan STAM Tahun 2021 serta Jadual Waktu UPBA Tahun 2021.
Terdahulu, KPM telah memaklumkan, peperiksaan SPM, STAM dan UPBA Tahun 2021 akan dilaksanakan pada Februari dan Mac tahun depan. -K! ONLINE