KUALA LUMPUR – Bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin mengesahkan, tiada wakil Malaysia yang akan bersaing pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.
Terdahulu, Zulfahmi yang juga pengurus pasukan SIC Racing Team menjelaskan pelumbanya, Syarifuddin Azman disebut-sebut bakal melebarkan sayap ke MotoGP tahun depan selepas menampilkan aksi cukup kompetitif dalam saingan CEV Moto3.
Pengumuman mengenai pasukan bakal disertai Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok, sepatutnya diumumkan bulan lalu selepas perbincangan akhir dilakukan.
Namun, impian itu musnah selepas difahamkan salah satu sebab utama Syarifuddin tidak dapat menyertai saingan tersebut disebabkan masalah penajaan berikutan pandemik Covid-19.
“Saya telah melakukan sebaik mungkin untuk mencari tempat buat pelumba kita. Saya buat pengumuman pada 15 Oktober lalu bagi memastikan perjalanan proses berjalan lebih pantas.
“Sekarang terserah kepada SIC. Saya sudah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif semalam kerana beliau individu yang boleh menjawab berkenaan Syarifuddin. Saya hanya pelaksana program.
“Ia adalah berita sedih kerana sejak 2009 hingga 2021 kita ada wakil Malaysia tetapi tiada untuk musim 2022. Saya berusaha keras untuk meletakkan pelumba Malaysia (bersaing) di MotoGP,” katanya pada sidang akhbar secara maya hari ini.
Syarifuddin dan Adam Norrodin dijadualkan beraksi pada pusingan terakhir Kejuaraan CEV di Litar Ricardo Tormo, Valencia hujung minggu ini dengan masing-masing bertekad mahu menutup tirai musim ini di pentas podium.