NOVEMBER menjadi antara bulan terbaik buat penggemar produk drama dari Korea Selatan atau singkatannya, K-drama dek deretan naskhah terbaik sedang menanti untuk bersua peminat.
Salah satunya dan yang paling dinantikan peminat termasuklah karya lakonan aktres popular, Song Hye-kyo yang bergandingan dengan aktor kacak, Jang Ki-yong menerusi naskhah Now, We Are Breaking Up.
Mula menemui penonton sejak 12 November lalu menerusi saluran SBS, drama yang diarahkan oleh Lee Gil-bok berkenaan bersiaran setiap hari Jumaat dan Sabtu pukul 10 malam waktu Korea Selatan.
Selain faktor dua bintang besar yang menjadi tonggak utama cerita yang ditulis oleh Je In tersebut, ada banyak sebab lain mengapa Now, We Are Breaking Up mencatat rekod tayangan luar biasa.
Dengan klasifikasi tayangan 19+, drama tersebut mengandungi adegan dewasa yang hanya boleh ditonton golongan matang. bukan kanak-kanak.
Sehinggakan, perkara tersebut menjadi perbualan netizen dalam laman sosial yang ternyata ‘terkejut’ dengan adegan berani yang membuka episod perdana tayangan drama berkenaan, sekali gus menjulang rating cukup tinggi.
Romantik
Aktres berusia 40 tahun itu memegang watak sebagai seorang pereka fesyen yang hidup berprinsip bernama Ha Young-eun, sementara Ki-yong pula sebagai Yoon Jae-guk, jurugambar sambilan profesional.
“Industri fesyen memang tidak lari jauh daripada kehidupan seorang aktres. Tapi saya sedikit gementar melalui pengalaman bekerja dalam syarikat rekaan pakaian untuk drama ini.
“Menerusinya saya sedar, rasanya seperti berada di medan perang yang huru-hara tapi setiap saat yang berlalu sangat bermakna,” ujarnya penuh makna.
Drama Now, We Are Breaking Up menyaksikan kemunculan semula Hye-kyo dalam skrin kecil dua tahun selepas kali terakhir menjelmakan pesonanya menerusi naskhah Encounters berdampingan dengan Park Bo-gum.
Ketika ditebak dengan faktor yang memikat dirinya kembali berminat menjayakan sebuah naskhah romantis sekali lagi, aktres itu ada jawapan yang bersifat peribadi.
“Saya ada meletakkan jangkaan untuk diri sendiri, dengan harapan bahawa Song Hye-kyo akan menjayakan sebuah drama pada usia 40-an yang berbeza ketika zaman 30-annya.
“Ada sesetengah orang mengkritik saya kerana melakonkan drama romantik sekali lagi, tapi selepas selesai penggambaran, saya tiada sesalan. Tak kira apa pun orang kata, saya rasa sudah melakukan yang terbaik apabila memilih naskhah ini,” tegasnya dalam satu temu bual bersama majalah Dazed Korea.
Paduan kimia
Kata bintang drama Full House itu, disebabkan watak Young-eun seusia dengannya, dia tidak melalui kepayahan menghayati karakter wanita itu,
“Saya seronok menjalani penggambaran sebab saya dan Young-eun ada hubungkait antara satu sama lain. Berpeluang menjayakan kisah cinta yang realistik bersama Ki-yong membuatkan saya berbesar hati.
“Ki-yong sangat baik. Kalau saya cakap sesuatu, saya suka melihat cara dia melakukannya. Hari pertama penggambaran, saya nampak bayangan seorang Yoon Jae-guk dalam dirinya.
“Sewaktu dia melontarkan dialog, suara dalamnya seperti Jae-guk. Sejak dari situ, saya tahu keserasian kami akan menghasilkan kerja yang hebat,” tuturnya.
Semakin sukar
Hye-kyo merupakan antara aktres kelas A Korea Selatan yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada umum.
Baik untuk peminat berusia mahupun golongan remaja, pasti mengenali siapa figura jelita itu.
Berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun dalam dunia lakonan dengan deretan naskhah popular seperti Autumn In My Heart yang melonjakkan namanya, Hye-kyo ampuh sebagai antara pelakon wanita paling berpengaruh ketika ini.
Digelar peminat sebagai ‘The Troika’ (tiga individu berpengaruh) di samping dua lagi aktres terkenal, Kim Tae-hee dan Jun Ji-hyun, Hye-kyo mencipta fenomena sehingga meletakkan dirinya sebagai seorang bintang Hallyu.
Bagaimanapun, sewaktu berkongsi pengalaman sepanjang menjalani penggambaran Now, We Are Breaking Up, dia mengakui tetap berdepan kesukaran.
“Ketika muda, saya selalu berfikir yang andai saya sudah tua, lakonan akan jadi mudah dan semakin senang. Tapi sekarang, ada satu fakta bahawa watak yang saya jayakan akan menua sekali dengan diri saya.
“Semakin berusia, karakter yang saya potretkan dalam lakonan juga menjadi ‘dalam’ dan lebih kompleks,” ujarnya yang dilahirkan pada 22 November 1981.