SELEPAS berkurung hampir dua tahun di dalam rumah akibat pandemik Covid-19, orang ramai mula melakukan pelbagai aktiviti riadah terutama pada hujung minggu.
Ketika ini, minat masyarakat di Malaysia tertumpu kepada aktiviti perkhemahan sama ada di dalam hutan, kawasan air terjun atau tepi pantai.
Buktinya, hampir semua tapak perkhemahan di seluruh negara penuh, terutamanya pada hujung minggu, malah jualan barangan keperluan bagi aktiviti tersebut turut laris di pasaran.
Aktiviti berkhemah bukan sahaja dapat lari daripada kesibukan kerja, malah berpeluang menikmati alam semula jadi sambil beramah mesra dengan rakan atau keluarga.
Dalam keghairahan berkhemah, ramai pemula aktiviti itu tidak melakukan persiapan rapi terutamanya ketika hujan.
Situasi tersebut membuatkan rasa seronok berkhemah menjadi sebaliknya apabila khemah dimasuki air, tidak boleh memasak dan melakukan aktiviti luar.
Bagi mengatasi masalah tersebut, Horizon ingin berkongsi beberapa perkara yang harus diberi perhatian apabila berkhemah ketika musim hujan.
1. Bawa beg kalis air
Salah satu barang paling penting ketika berkhemah semasa hujan adalah beg kalis air.
Dengan adanya beg ini, anda dapat menyimpan pelbagai barang penting seperti pakaian, ubat-ubatan, telefon pintar dan bekalan kuasa di dalamnya.
Meskipun barangan tersebut diletakkan di dalam khemah kalis air, namun ia tetap berisiko basah. Hal ini kerana, air boleh memasuki khemah pada bila-bila masa sekiranya hujan terlalu lebat.
2. Ubah kedudukan khemah
Setiap orang mahu khemah berada di kawasan tanah rata untuk keselesaan ketika tidur.
Sekiranya hujan, anda perlu tempatkan khemah di kawasan sedikit bercerun kerana lokasi itu sukar membentuk air bertakung.
Sebaiknya, elakkan berkhemah di bawah kaki bukit kerana dibimbangi menjadi tempat laluan air.
3. Letakkan terpal
Ketika hari panas, terpal biasanya diletakkan di bahagan luar bagi mengelak kelembapan tanah meresap masuk ke dalam khemah. Ia juga menghalang duri dan ranting tajam mengoyakkan khemah.
Sebelum hujan, anda disarankan meletakan terpal di dalam khemah.
Ini dapat mengelakkan air meresap masuk ke dalam khemah, sekali gus menjadikan beg tidur dan barang dibawa kekal kering.
4. Makanan sedia makan
Menikmati makanan panas ketika hujan merupakan satu nikmat yang luar biasa.
Namun, jika hujan terlalu lebat, anda perlu menukar menu yang dirancang.
Pastikan membawa makanan sedia makan yang tidak memerlukan anda memasak seperti biskut, roti dan bar tenaga.
Ini kerana, sukar untuk memasak atau menghidupkan api ketika hari hujan.
5. Bawa permainan
Ketika hujan, segala aktiviti luar seperti mendaki, berbasikal dan memancing yang dirancang tidak dapat dilakukan.
Anda akan menghabiskan masa di dalam khemah.
Justeru, disarankan membawa buku, daun terup, dam atau catur bagi menghilangkan kebosanan menunggu hujan reda.
Anda juga boleh membawa telefon pintar atau iPad untuk menonton filem.