fbpx

Jeritan jiran selamatkan nyawa 30 penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Yusof melihat rumahnya yang terbakar dalam kejadian kebakaran di Lorong Nik Pa Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, hari ini. - Foto oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Jeritan beberapa orang jiran berjaya menyelamatkan nyawa seramai 30 penduduk dalam kebakaran melibatkan sembilan buah rumah di Lorong Nik Pa, Jalan Sultanah Zainab di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 2.50 pagi itu, kesemua mangsa daripada tujuh buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran tersebut selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Salah seorang mangsa, Mohd. Yusof Kamaruzaman,31, berkata, dia menyedari kebakaran berlaku di rumahnya selepas terdengar jeritan semasa tidur daripada ahli keluarga yang tinggal berhampiran rumahnya yang menyuruh dia, isteri dan dua anak menyelamatkan diri.

Menurutnya, mereka sekeluarga yang sedang tidur terus bangun bergegas keluar sebelum melihat api sedang membakar bahagian belakang rumahnya.

“Kami sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang apabila saya langsung tidak sempat menyelamatkan harta benda di dalam rumah termasuk sebuah motosikal,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Ketua Cawangan Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kelantan, Penguasa Bomba Mohd. Farid Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 2.56 pagi sebelum 41 pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Pasir Tumboh dan Pengkalan Kubor bergegas ke lokasi kejadian.

“Tiada sebarang halangan yang dihadapi semasa operasi pemadaman kebakaran dijalankan. Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan beberapa buah rumah yang terletak berhampiran lokasi kejadian daripada turut musnah dalam kebakaran itu.

“Api berjaya dikawal kira-kira sejam kemudian. Punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI