KUALA NERANG – Sebanyak 16 tan daun ketum dan 2,973 liter cecair daun tumbuhan tersebut bernilai RM192,708 yang dirampas polis Kedah sejak 2014 hingga tahun lalu akan dilupuskan pada hari ini.
Proses tersebut akan dilakukan di tapak pelupusan sampah di Jabi, Pokok Sena dekat sini yang diselia syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, E-Idaman Sdn. Bhd.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin berkata, pelupusan rampasan daun dan air ketum itu melibatkan rampasan membabitkan 293 kes yang berjaya diselesaikan.
“Kesemua barang kes ini telah selesai perbicaraan di mahkamah dan mendapat perintah untuk dilupuskan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelupusan Barang Kes Daun Ketum di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap di sini hari ini.
Mohd Taufik berkata, hampir keseluruhan daun ketum juga didapati telah reput berikutan telah lama disimpan selain ada cecair yang didapati dicampurkan dengan pelbagai bahan seperti minuman berkarbonat. – K! ONLINE