PETALING JAYA- ‘Hari ini rancak, di sini rancak, di sana rancak, berdosa’. Itu antara ungkapan yang meniti di bibir pengguna media sosial ketika ini apabila ia mula tular di aplikasi TikTok sejak beberapa minggu lalu.
Menariknya, ungkapan dipercayai dicipta oleh seorang pemandu lori itu terus tular di beberapa aplikasi termasuk Facebook hingga mendapat ratusan ribu tontonan di media sosial.
Malah, Ungkapan itu turut dijadikan video parodi dan lawak di mana pengguna media sosial menggunakan suara latar pemuda terbabit sebagai ‘content’ terbaru mereka.
Selain itu, pengguna media sosial turut menjadikan ungkapan tersebut sebagai bahan jenaka di mana mereka mengaitkan suntikan vaksin penggalak dengan ayat berkenaan.
Menurut perkongsian seorang pengguna Twitter, @Fahmibinhassan, dia mencadangkan agar nama dos penggalak ditukarkan kepada dos perancak susulan populariti diraih ungkapan tersebut.
“Rasa nak cadangkan tukar nama dos penggalak kepada dos perancak, di sini rancak, di sana rancak, mana-mana rancak, berdosa,” ciapnya.
Ciapan pemuda itu mendapat lebih 18,000 tanda suka selain diulang ciap oleh 12,700 pengguna Twitter yang lain.
“Dia sama saja bang, di sana galak, di sini galak, mana-mana galak, berdosa,” seloroh @ Nabihan Nordin.
“Saya tidak boleh hidup dengan ungkapan ini akhir-akhiur ini, kena cakap juga dengan emosi yang penuh, mana-mana rancak, berdosa,” kata @fir_dahari. -K! ONLINE