fbpx

Lebih 1,000kg sampah dikutip di kawasan pantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUKARELAWAN mengutip sampah yang ada di kawasan pantai.

ALAM sekitar adalah anugerah Tuhan yang perlu dijaga dan dipelihara sebaiknya untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Namun begitu, kesedaran tentang penjagaan alam sekitar masih lagi tidak digalas sepenuhnya oleh setiap anggota masyarakat dan pembuangan sampah sarap yang mencemarkan alam masih berlaku.

Kawasan yang menjadi tumpuan pelancongan seperti pantai misalnya sering menjadi tempat pembuangan sampah oleh mereka yang tidak mempunyai kesedaran sivik.

Menyedari hakikat itu dan sebagai sebahagian daripada usaha untuk membina masa depan lebih hijau, Nestle Malaysia melancarkan Minggu Alam Sekitar dengan mengadakan aktiviti membersihkan pantai seluruh negara bersama pertubuhan bukan kerajaan, ImpactLution.

Program itu dianjurkan mengikut protokol pencegahan Covid-19 yang ditetapkan pihak berkuasa.

Inisiatif tahun ini telah disertai oleh 300 sukarelawan Nestle dan berjaya mengumpul lebih 1,000 kilogram (kg) sampah sarap di enam lokasi di seluruh Malaysia, termasuk aktiviti pembersihan dasar laut dan pemuliharaan terumbu di Pulau Tioman.

LEBIH 1,000kg sampah berjaya dikutip oleh para sukarelawan di enam lokasi berbeza di seluruh negara.

Program ini diadakan di Pantai Kelanang, Banting, Selangor; Pantai Bagan Lalang, Sepang, Selangor; Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang; Pantai Teluk Bayu, Pulau Pinang dan Pulau Tioman, Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, inisiatif pembersihan pantai tahunan Nestle sejak tahun 2018 itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan dan orang ramai untuk menangani masalah sisa plastik.

Menurutnya, sepanjang empat tahun inisiatif itu dilaksanakan, program tersebut melibatkan lebih 1,000 sukarelawan dan mengumpulkan lebih 9,000kg sisa setakat ini di 20 lokasi.

“Pandemik Covid-19 menyebabkan peningkatan ketara pengeluaran plastik sekali guna, khususnya pelitup muka, sarung tangan dan pembungkusan makanan.

“Kami terus menggiatkan usaha untuk mengurangkan sisa plastik dengan lebih tumpuan diberikan ketika pandemik,” katanya.

SAMPAH di dasar lautan dipungut oleh penyelam yang prihatin bagi menjaga alam sekitar.

Tambahnya, setiap tahun, 400 juta tan plastik dihasilkan, satu pertiga daripadanya digunakan untuk pembungkusan.

Pengeluaran plastik kian bertambah ekoran pandemik Covid-19 dan ini memberi kesan yang lebih ketara kepada alam sekitar.

“Sepanjang tempoh setahun lalu, keperluan bagi plastik sekali guna semakin bertambah dan sisanya kini mencemari sungai dan lautan kita.”

“Malaysia telah dianugerahkan dengan ekosistem yang kaya dan pelbagai. Kita semua mempunyai kewajipan untuk melindunginya bagi generasi akan datang,” ujarnya.

Menurut Aranols, dengan melakukan aktiviti pembersihan pantai, pihaknya ingin meningkatkan kesedaran dan mengingatkan semua rakyat Malaysia tentang kepentingan untuk tidak membuang sampah merata-rata.

Selain itu, katanya, rakyat seharusnya mengamalkan guna semula dan kitar semula pembungkusan supaya tidak mencemarkan lautan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI