NEW DELHI – Sebuah syarikat perkhidmatan bas di India, Adventures Overland mengumumkan rancangan untuk mengadakan perjalanan dari New Delhi ke London.
Perjalanan unik itu akan merentasi 18 buah negara sejauh 20,000 kilometer dan mengambil masa 70 hari.
Konsep bas jarak jauh itu adalah seperti bas pelancong yang digunakan di kawasan bandar yang membenarkan pelancong melawat beberapa monumen penting di sekitar kawasan bandar serta penumpang boleh turun di mana-mana hentian disediakan.
Penumpang perkhidmatan jarak jauh dikenali sebagai Adventures Overland itu berpeluang melawat negara seperti Myanmar, Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Rusia, Lithuania, Latvia, Poland, Republik Czech, Jerman, Belanda, Belgium, Perancis dan Britain.
Bagaimanapun, perjalanan tersebut bukan pelancongan bajet kerana bas tersebut dilengkapi ciri keselesaan, menyamai kualiti hotel empat atau lima bintang.
Ini bukan kali pertama bas pelancongan rentas negara dari India pernah beroperasi. Sebelum ini pada tahun 1957, terdapat bas yang melakukan perjalanan antara kota raya London dan Calcutta dengan membawa 20 penumpang pada satu-satu masa. Bayaran yang dikenakan ketika itu cuma £85 (RM470).
Namun, tiket bagi perjalanan baharu ini adalah jauh lebih mahal iaitu AS$20,190.73 (RM84,215). Menurut syarikat berkenaan, harga berbeza akan ditawarkan pada masa hadapan berdasarkan laluan perjalanan. Perkhidmatan tersebut dijangka bermula pada Mei tahun depan.
Mereka yang berminat boleh melawat laman web www.bustolondon.in., manakala tempahan sudah dibuka.
Bilangan penumpang untuk sebuah bas terhad kepada 20 orang sahaja kerana faktor keselesaan. – AGENSI