fbpx

Mayat lelaki ditemui di air terjun kaki Bukit Larut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa ditemui di kawasan air terjun lama Bukit Larut, dekat sini petang tadi

TAIPING – Mayat seorang lelaki dijumpai dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan pada kepala dan patah paha kiri di kawasan air terjun lama Bukit Larut, dekat sini petang tadi

Mayat berkenaan ditemui orang awam yang melalui kawasan air terjun tersebut pada pukul 4.30 petang sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mayat mangsa yang berseluar pendek itu ditemui di kawasan air terjun iaitu kira-kira 350 meter dari jalan utama.

Menurut beliau, identiti mangsa disahkan sebagai S.Jagenrau, 35, dan dia dipercayai datang sendirian ke kawasan tersebut.

“Pihak polis telah pergi ke tempat kejadian dan menjumpai mangsa dalam keadaan terbaring di kawasan takungan air terjun.

“Mayat ditemui dalam keadaan tidak berbaju, dengan sebuah beg berwarna hitam yang disandang pada bahu kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan penemuan tersebut, khidmat pihak bomba digunakan untuk membawa keluar mayat berkenaan.

Osman memberitahu, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19 dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI