TEMERLOH – Air tangan tukang masak dari Thailand sememangnya menjadi pilihan pelanggan kedai makan khususnya peminat tomyam dan masakan panas.
Sehubungan itu, tidak hairanlah kedai-kedai makan yang mempunyai ‘cef’ dari negara jiran tersebut sentiasa penuh ‘dibanjiri’ rakyat tempatan pada setiap masa.
Penggemar masakan panas, Khirrul Nirwan Bahaudin, 40, berkata, kemahiran tukang masak dari Thailand memasak masakan panas tiada tandingan dengan hidangan yang disediakan pasti membangkit selera.
Katanya, dia dan rakan-rakan pasti akan memilih kedai makan yang mempunyai tukang masak Thailand untuk menjamu selera bersama keluarga.
“Masakan yang dimasak ‘cef’ Thai ini memang sedap dan tiada tandingan, tak pasti apa ramuan yang dipakai, mungkin kemahiran mereka memasak itu yang handal.
“Bagaimanapun, disebabkan Covid-19, tidak banyak pilihan untuk kami menjamu selera kerana banyak kedai makan Thailand yang terkenal di daerah ini belum dibuka, mungkin kerana ketiadaan tukang masak dari Thailand,” katanya di sini semalam.
Berita berkaitan: Tauke tomyam pening kepada cari cef Thailand
Berita berkaitan: Pakar masak ‘Siam’ masuk Malaysia ikut Sungai Golok
Dalam pada itu, seorang penduduk di Bentong, Mohamad Affeeq Awaluddin, 44, berkata, dia mengakui masakan tukang masak Thailand lebih sedap dan memenuhi cita rasa rakyat di negara ini.
“Memang kebanyakan tukang masak Thailand ini hidup mereka adalah memasak
menyebabkan mereka mahir dalam bidang itu.
“Seorang tukang masak memberitahu, mereka menggunakan ramuan dari negara mereka sendiri bagi memastikan masakan tomyam lebih menyelerakan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pengguna, Aini Jamin, 40, berkata, setiap kali keluar makan bersama keluarga, dia akan memilih restoran yang menggunakan khidmat tukang masak warga Thailand.
“Keeenakan masakan warga Thailand bukan lagi satu persepsi, tetapi satu kenyataan yang akan dapat memastikan aktiviti makan bersama keluarga lebih menyelerakan dan menggembirakan,” katanya.