SELEPAS beberapa minggu terpalit kontroversi membabitkan penulis dan petugas produksi drama Sponsor, aktor Lee Ji-hoon mendedahkan bahawa perseteruan yang berlaku sudah pun menemui titik noktah.
Dalam satu hantaran Instagram, Ji-hoon memaklumkan bahawa dia sudah menghubungi penulis tersebut dan berbincang secara baik berhubung isu membabitkan mereka.
“Berlaku salah faham yang pelik antara kami. Dia sedar tentang punca salah faham tentang saya. Begitu juga dengan saya.
“Kami sudah menyelesaikan salah faham yang berlaku dan berbincang mengenainya. Akhirnya kami bersepakat menyelesaikannya dengan cara baik dan saling menyokong antara satu sama lain.
“Sekarang kami sudah berdamai,” katanya.
Disebabkan salah faham tersebut, Ji-hoon berharap tiada sesiapa lagi yang akan terluka.
“Saya tidak mahu sesiapa terluka atau terbeban disebabkan hal ini. Saya tidak mahu perkara ini jadi isu lagi,” tegasnya.
Terdahulu, Ji-hoon terpalit isu selepas dia dikatakan menggunakan pengaruh popularitinya untuk menyingkirkan penulis skrip drama bertajuk Sponsor.