SAN MARINO – Penggempur sensasi England, Harry Kane meleburkan rekod yang berusia hampir 100 tahun apabila muncul pemain negara itu yang mengumpul jaringan terbanyak dalam tempoh setahun.
Kane berjaya meledak 16 gol buat England sepanjang tahun ini termasuk empat gol yang dijaringkan ketika membantu The Three Lions membelasah San Marino 10-0 dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Olimpik Serravalle awal pagi semalam.
Kapten England itu berada dalam prestasi terbaik, meledak empat gol termasuk dua menerusi penalti biarpun masih bergelut untuk mencari sentuhan bersama kelabnya, Tottenham Hotspur.
Sebelum perlawanan berkenaan, Kane yang sudah pun mengumpul 12 gol menyamai pencapaian yang direkodkan George Hilsdon pada 1908 dan Dixie Dean pada 1927.
Kane juga muncul pemain keempat England yang merekodkan hatrik dalam dua perlawanan berturut-turut selepas Dean pada 1927, Vivian Woodward (1909) dan Tommy Taylor (1957).
Pengurus England, Gareth Southgate mengakui gembira dengan ketajaman Kane sambil berjenaka bahawa penjaring gol terbanyak England, Wayne Rooney pasti mahu Kane dikeluarkan.
“Jika kami biarkannya bermain setengah jam lagi, kami mungkin menerima panggilan daripada keluarga Wayne Rooney,” katanya.
Dalam pada itu, pemain pertahanan, Harry Maguire turut berjaya memadam rekod John Terry apabila menjadi menjadi pemain pertahanan tengah yang menjaringkan gol terbanyak apabila sudah mengumpul tujuh gol dengan kelebihan satu jaringan. – AGENSI