fbpx

Naik gaji atau bagi penganggur kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CUEPACS mencadangkan agar kadar gaji minimum kakitangan kerajaan dinaikkan kepada RM1,800 sebulan. - Gambar hiasan

Isnin lepas, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menuntut agar kerajaan meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM1,200 ketika ini kepada RM1,500 dengan alasan tangga gaji minimum sekarang sudah tidak relevan dengan keadaan semasa.

Secara asasnya, jika kadar baharu itu dilaksanakan, ia tidak hanya akan termaktub kepada sektor kerajaan, malah akan turut terpakai kepada semua syarikat swasta yang ingin menggaji pekerja.

Jujurnya, amat bagus jika impian tersebut dapat dilaksanakan. Siapa yang tidak mahu gaji naik, lebih-lebih untuk mereka yang tinggal di kawasan yang kos sara hidupnya tinggi seperti di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Kenaikan gaji sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban hidup yang terpaksa ditanggung. Namun persoalannya, wajarkah kadar gaji minimum itu dinaikkan dalam keadaan sekarang dan mampukah pihak majikan khususnya syarikat-syarikat kecil untuk menggaji pekerja dengan gaji yang lebih tinggi?

Lebih-lebih lagi ketika ini kerajaan sendiri serta kebanyakan syarikat masih bergelut untuk pulih daripada serangan pandemik Covid-19, manakala kira-kira 700,000 penduduk yang lain masih tiada pekerjaan.

Kepada kerajaan atau syarikat besar mungkin tidak akan menjadi masalah untuk melaksanakan kadar gaji minimum yang baharu, tetapi kebanyakan syarikat kecil yang sedang bangkit mungkin merasai keperitannya.

Mereka mungkin mahukan pekerja tetapi pada masa yang sama tidak mampu untuk membayar gaji mengikut kadar yang diinginkan. Jika ini berlaku, kita bimbang mereka hanya akan mengambil pekerja dalam jumlah yang kecil atau mungkin tidak mengambil langsung.

Kesannya, peluang pekerjaan untuk mereka yang masih menganggur di luar sana mungkin akan terjejas.

Kalau ada yang diambil bekerja sekali pun, mungkin sebagai pekerja tidak tetap yang tidak perlu dibayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Keadaan ini tentunya bukanlah sesuatu yang kita inginkan, kerana yang lebih penting untuk kita ketika ini ialah semua orang termasuk yang sedang sengsara akibat Covid-19 dapat kembali berdiri di atas kaki mereka sendiri dan bukannya mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.

Bukanlah saya tidak bersetuju dengan kenaikan gaji, tetapi dalam keadaan sekarang rasanya kita perlu melihat kepada permasalahan yang lebih besar supaya setiap keputusan yang dibuat tidak hanya menguntungkan satu pihak sahaja sedangkan di satu pihak yang lain terpaksa menanggung keperitan hidup.

Kepada mereka yang masih bergaji walaupun kecil, bersabarlah seketika. Uruslah pendapatan yang ada dengan baik dan berbelanjalah dengan berhemah.

Kepada kerajaan pula, sesuatu harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan supaya jumlah rakyat yang menganggur dapat dikecilkan.

Tidak ada gunanya kita naikkan gaji minimum, tetapi pada masa yang sama beratus ribu orang merempat tiada pekerjaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI