LONDON – Pengurus baharu Aston Villa, Steven Gerrard sudah bersedia untuk meraih cabaran di Villa Park selepas membuat keputusan meninggalkan Rangers.
Biarpun menerima pelbagai reaksi mengenai keputusannya meninggalkan kelab hebat seperti Rangers untuk menyertai Villa yang bergelut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), namun Gerrard mengakui segala risiko berkenaan sudah dipertimbangkan.
“Saya gemarkan cabaran dan suka untuk mengambil risiko. Ia adalah perkara yang tidak akan menghalang saya untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
“Villa sangat sesuai kerana mereka mempunyai peminat yang cukup teguh memberikan sokongan. Saya tahu mengenai keinginan dan tekanan untuk mencapai kejayaan.
“Ia adalah perkara biasa yang telah saya lalui sejak berusia 17 atau 18 tahun. Ia adalah mengenai bagaimana untuk menyatukan semua pihak dan saya berharap mampu untuk melakukannya,” katanya.
Tugas Gerrard bersama Villa tidak mudah apabila pasukan itu hanya meraih 10 mata dalam 11 perlawanan tetapi beliau percaya mampu untuk mengubah prestasi Villa.
“Villa adalah sebuah pasukan ikonik dan saya mahu mengenali kelab ini dengan lebih mendalam.
“Saya memasang cita-cita besar dan berharap diberikan masa untuk mengubah nasib kelab ini,” jelasnya.
Tugas pertama Gerrard di Villa adalah berdepan Brighton pada Sabtu ini. – AGENSI