KNIGHTSBRIDGE, LONDON – Pelanggan yang ingin membelanjakan wang di restoran steak Nusr-Et diberi amaran sebelum membuat tempahan bahawa mereka mempunyai masa hanya dua jam untuk makan, lapor akhbar The Sun semalam.
Ini bermakna mereka yang membelanjakan £37,000 (RM 206,759.51) untuk hidangan mewahnya itu memperuntukkan hampir £9,300 (RM 51,969.28) dalam masa setengah jam sahaja atau bersamaan £308 (RM 1,721.13) seminit.
Pengunjung mengecam tindakan kakitangan Nusr-Et yang menyuruh mereka segera makan, malah pelanggan di sebuah meja lain turut mendakwa mereka diberi amaran 30 minit selepas mula menikmati hidangan.
Beberapa pengunjung malah membayar £250 (RM 1396.85) hanya untuk membuat tempahan selepas restoran yang sentiasa dipenuhi pelanggan itu menerima banyak tempahan secara dalam talian.
Seorang pengulas makanan bertindak menyemak laman web TripAdvisor untuk meneliti kedai makan itu yang mempunyai menu stik bersalut emas berharga £1,450 (RM 8,102.96). Dia mengkritik hidangan tersebut sebagai ‘nampak bagus tetapi tidak berkualiti’.
Pengulas itu berkata: ‘’Kualiti stik yang disediakan adalah lebih sedikit daripada sederhana. Saya pernah ke restoran stik yang lebih baik walaupun kurang ternama. Kami tidak dihantar hidangan sampingan (di restoran Nusr-Et), jadi saya bertanya kepada pelayan sama ada ia dalam perjalanan.
“Pada ketika itu, maklum balas pelayan itu menjadi sangat pendek dan tumpul seolah-olah saya telah melakukan kesalahan.
‘’Kakitangan itu kemudian datang dengan makanan tengah hari dan memberi amaran kepada kami bahawa kami mempunyai 30 minit supaya boleh membenarkan orang lain menggunakan meja,’’ katanya.
Kakitangan tempahan di Nusr-Et memberi amaran bahawa hanya terdapat masa dua jam untuk menjamu selera apabila pelanggan menghubungi mereka untuk membuat tempahan.
Walaupun peraturan itu bukan sesuatu luar biasa untuk restoran di London, ia menyebabkan pengunjung tidak berpuas hati kerana kos yang mahal untuk makan di restoran milik cef popular, Salt Bae itu. – Agensi