KOTA BHARU – Polis sedang mengesan dua suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai mencuri pakaian pelanggan di dalam sebuah dobi layan diri di Melor, di sini petang semalam.
Kejadian itu dikesan melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis tersebut pada pukul 4.46 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, laporan mengenai kejadian itu telah dibuat oleh pelanggan dobi terbabit di Balai Polis Melor kira-kira pukul 10.30 malam semalam.
Menurutnya, polis kini sedang mengesan kedua-dua suspek untuk membantu siasatan berhubung kes itu.
“Kita juga sedang menyiasat hubungan antara kedua-dua suspek dalam kes itu.
“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak meninggalkan pakaian yang dibasuh di premis dobi layan diri tanpa pengawasan kerana ia mengundang pelbagai risiko termasuk kecurian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular video CCTV kedai dobi berkenaan yang memaparkan pelakuan seorang wanita memasuki premis itu dan mencuri pakaian milik pelanggan di dalam mesin pengering.
Selepas mencuri pakaian, suspek terus meluru ke arah seorang lelaki yang sedang menunggu di atas sebuah motosikal bersama seorang budak lelaki sebelum mereka meninggalkan premis itu. -K! ONLINE